KUANTAN, 6 April (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) meningkat kepada 96.3 peratus tahun lepas, berbanding 94.2 peratus pada tahun sebelumnya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata ini menjadi pendorong kepada pihak universiti untuk mengekalkan momentum peningkatan kebolehpasaran graduannya pada tahun ini.
Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan bagi mencapai sasaran itu ialah melakukan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak industri dalam aspek penawaran kerja selain penganjuran karnival kerjaya.
"Penganjuran karnival selama dua hari bermula hari ini melibatkan 35 syarikat yang menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan yang diharapkan dapat memadankan graduan dengan kerjaya serta majikan yang sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya 'University to Industry' di UMP Kampus Gambang di sini hari ini, yang disempurnakan Anggota Lembaga Pengarah UMP Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin.
Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam karnival kerjaya kali ini ialah BASF Petronas Chemicals, Mercedes Benz, Top Glove Sdn. Bhd, YTL Corporation Berhad, Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd, Panasonic dan Prasarana Malaysia Berhad.
Sementara itu, Md Sharif menasihatkan graduan untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran lain yang boleh menjadi nilai tambah kepada mereka untuk menarik minat majikan.
"Jangan terlalu hanya bergantung kepada sijil. Pelajar perlu mempunyai kombinasi iaitu kelulusan, kemahiran dan bakat untuk menempatkan diri dalam bidang pekerjaan.
"Kita juga berharap pelajar tidak melihat peluang pekerjaan itu sekadar dalam sektor awam atau swasta kerana mereka harus berani mencipta peluang untuk menjadi usahawan yang kompetitif," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial