IPOH, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk membantu para pekebun di Cameron Highlands yang berdepan dengan arahan pembersihan dan perobohan kebun mereka oleh kerajaan negeri Pahang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highland bagaimanapun berkata pelbagai aspek perlu diambil kira dalam usaha untuk memastikan situasi menang-menang.
"Kita akan lakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat. "Kita ambil kira langkah dan tindakan adalah untuk kepentingan rakyat.
"Kita hendak tolong pekebun-pekebun ini tapi mesti tahu ini penerokaan (kebun) bagaimana? Adakah ia menjaga alam sekitar, merbahaya yang boleh menyebabkan tanah runtuh...ini mesti diambil kira," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia di Politeknik Ungku Omar di sini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Timbalan Perdana Menteri ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Pahang membersihkan dan merobohkan 11 kebun milik pekebun kecil di Kuala Terla, Cameron Higlands pada Februari lepas bagi fasa pertama, manakala penguatkuasaan sama ke atas 50 lagi kebun dijadual pada bulan ini.
Pekebun berkenaan dalam satu bantahan ada 31 Mac lalu mendakwa, selain memberikan notis yang singkat, tindakan kerajaan negeri itu menyebabkan mereka hilang punca pendapatan dan pada masa sama terpaksa menanggung bayaran balik pinjaman institusi kewangan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan kerajaan negeri perlu bertegas dalam isu pekebun kecil Kuala Terla untuk menjamin kesinambungan bekalan air terawat bagi keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial