BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
KUALA TERENGGANU, 5 Mei (Bernama) -- Penularan penyakit mumps atau beguk di Terengganu semakin membimbangkan dan mencatat peningkatan ketara berbanding tahun lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Jusoh.
Beliau berkata dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, 114 kes penyakit itu dilaporkan berbanding 118 kes sepanjang tahun lepas, dan wabak tersebut dikesan menular di beberapa sekolah, rumah persendirian, sekolah pondok serta madrasah.
"Sehubungan itu, semua pihak perlu terus mencegahnya dengan mengambil beberapa langkah awal seperti mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, mengasingkan pesakit dan tidak membawanya ke tempat awam untuk mengelak jangkitan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terbaharu, beberapa pelajar di sebuah sekolah menengah berasrama di Kuala Terengganu dijangkiti penyakit itu dan sedang dikuarantin di rumah masing-masing.
Ditanya sama ada sekolah akan ditutup berikutan wabak itu, Dr Mohd berkata kebiasaannya hanya pelajar terbabit dikuarantin di rumah, namun sekiranya jumlah pelajar dijangkiti terlalu ramai, pihak pengurusan boleh menutup sekolah berkenaan.
Kuala Terengganu adalah daerah tertinggi merekodkan penyakit itu dengan empat kes, manakala Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun, masing-masing satu wabak.
Bagi mengelak penyakit itu berjangkit kepada orang ramai, beliau menasihati ibu bapa untuk memberi vaksin imunisasi kepada anak mereka pada usia sembilan dan 12 bulan sebagai langkah pencegahan jangka panjang terhadap wabak tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial