KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap agar nama Kampung Baru tetap dikekalkan walaupun kerajaan berhasrat untuk membangunkan semula kawasan berkenaan sebagai penempatan moden dan lebih sistematik.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata ini kerana nama Kampung Baru memiliki nilai sejarah dan warisan tersendiri yang perlu dikekalkan.
"Saya berharap agar kampung ini walaupun dibangunkan tapi akan dibangunkan dengan keunikan Kampung Baru itu, jangan hilang nama Kampung Baru itu, jangan jenamakan, contoh macam sebelum ini Kampung Kerinchi jadi Bangsar South," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Pakatan Harapan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru di sini hari ini.
Pada 22 April lepas, Menteri Wilayah Khalid Samad dipetik sebagai berkata kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.
Katanya dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.
Rina berkata, pembangunan dirancang kerajaan di Kampung Baru dilakukan secara menyeluruh dan holistik bukan sahaja merangkumi pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi sosial dan ekonomi.
"Kes Kampung Baru baru sudah terlampau lama, saya harap kali ini dapat dibuat satu keputusan lebih jelas, kita tidak boleh puaskan hati semua orang...so far Alhamduluillah ramai nak pembangunan, tapi jangan dipinggirkan hak mereka," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga kini sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenalpasti jumlah dan status kewarganegaraan penduduk yang menetap di Kampung Baru.
"Saya percaya Perbadanan Kampung Baru juga telah jalankan siasatan dan mengenal pasti setiap penduduk di kampung ini...sama ada mereka ini warganegara atau tidak...kita nak pastikan rakyat kita mendapat manfaat daripada pembangunan ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial