BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 EKONOMI

Damansara Realty akan raih RM15.9 juta menerusi tawaran saham persendirian

28/05/2019 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Damansara Realty Bhd (DBhd), pemaju hartanah dan kumpulan pengurusan fasiliti bersepadu, merancang untuk meraih sehingga RM15.9 juta menerusi tawaran saham persendirian untuk menyokong pengembangan perniagaan dan pemulihan aktiviti perlombongan bauksitnya.

Tawaran saham persendirian itu sehingga 10 peratus modal saham DBhd melibatkan terbitan sehingga 31.8 juta saham baharu, katanya dalam kenyataan hari ini.

DBhd telah melantik M&A Securities Sdn Bhd sebagai penasihat dan ejen tawaran saham bagi pelaksanaan tawaran saham persendirian yang dicadangkan itu, dijangka selesai pada Jun 2019.

Sebahagian besar modal daripada lebih  RM12.8 juta yang diraih itu akan membantu membiayai pengembangan segmen Pengurusan Fasiliti Bersepadu (IFM), termasuk perniagaan pengurusan parkir antarabangsa di Filipina.

DBhd ketika ini mempunyai nilai perolehan kontrak kumulatif sebanyak RM653.67 juta daripada bidaan pelbagai projek IFM.

Baki dana yang diraih itu, kata DBhd akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penilaian kesan alam sekitar bagi melaksanakan semula aktiviti perlombongan bauksit oleh anak syarikatnya, Damansara Realty Pahang Sdn Bhd (DRP).

Ini berikutan langkah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asia yang menarik balik moratorium ke atas bauksit pada Mac tahun ini.

"Tawaran saham persendirian ini akan memberikan sumber tambahan kepada kami bagi meneruskan pelan strategik kami untuk meningkatkan pertumbuhan jangka panjang syarikat dan nilai kepada pemegang saham kami.

“Dengan aliran keuntungan kami yang mampan, kami percaya masanya tepat untuk kami melaksanakan semula perlombongan bauksit. Kami kini berada dalam kedudukan kukuh untuk merealisasikan potensi simpanan bauksit kami, yang boleh menjadi penyumbang pendapatan berdaya maju untuk melengkapi perniagaan teras kami untuk tahun-tahun akan datang,” kata Pengarah Urusan kumpulan Brian Iskandar Zulkarim.

DRP memiliki tanah seluas 202.34 hektar yang kaya dengan bauksit di Beserah dekat Kuantan, dengan simpanannya dianggarkan lebih lima juta tan metrik.

Kumpulan itu sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa untuk memulakan aktiviti perlombongan bauksit.

“Kami akan kekal mematuhi semua undang-undang dan peraturan sepertimana yang kami sentiasa lakukan sebelum ini dan akan mengemukakan kajian EIA yang diperlukan dan mana-mana proses yang ditetapkan undang-undang atau peraturan sebelum melaksanakannya,” kata Brian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan