BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
BAGHDAD, 28 Jun (Bernama) -- Ratusan penduduk Iraq memecah masuk ke perkarangan kedutaan Bahrain di Baghdad dan menurunkan bendera negara itu serta menggantikannya dengan bendera Palestin, sebagai membantah penyertaan Bahrain dalam persidangan ekonomi anjuran Amerika Syarikat di Manama, lapor agensi berita Anadolu.
Sekumpulan orang ramai turut dilihat membakar bendera Amerika. Pasukan keselamatan Iraq campur tangan dan berjaya meleraikan perusuh berkenaan.
Menteri Arab Saudi bagi Hal Ehwal Negara Teluk, Thamer al-Sabhan menerusi Twitter berkata, kejadian yang berlaku di kedutaan berkenaan adalah suatu yang amat dikesalkan.
Bahrain memanggil pulang dutanya ke Iraq untuk berunding berikutan kejadian berkenaan. Kementerian Luar Bahrain turut mengutuk serangan itu yang turut menyebabkan kerosakan pada bangunan.
Dalam satu kenyataan, ia menyatakan kerajaan Iraq bertanggungjawab memberi perlindungan terhadap kedutaan, konsulat dan petugas di Baghdad.
Bahrain -- sebuah negara pulau di Teluk Parsi - menjadi tuan rumah 'Bengkel Keamanan untuk Kemakmuran' selama dua hari, bagi membincangkan aspek ekonomi dalam sebahagian daripada 'Perjanjian Kurun' Presiden Donald Trump untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Pihak Berkuasa Palestin mengumumkan ia tidak akan menyertai rundingan berkenaan dan mendesak negara lain di rantau itu supaya turut memulaukan acara berkenaan.
Sidang bermula pada Selasa dan dihadiri Bahrain selaku tuan rumah, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Maghribi.
Meskipun pegawai Israel tidak dijemput, ahli perniagaan dan beberapa wartawan menyertai bengkel yang diadakan itu.
Rundingan antara Palestin dan Israel gagal pada April 2014 selepas Israel enggan menghentikan aktiviti di tanah yang diduduki serta menerima penyelesaian pembentukan dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967.
Israel juga ingkar terhadap janjinya membebaskan tahanan Palestin dari penjaranya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial