AM

MPPD akan bentuk j/kuasa kaji zon bebas cukai

04/07/2019 07:00 PM

PORT DICKSON, 4 Julai (Bernama) -- Bagi menarik lebih ramai pelancong ke Port Dickson, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji kemungkinan untuk menjadikan kawasan itu sebagai zon bebas cukai.

Pengarah Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam MPPD Muhammad Syamim Bazin berkata penubuhan jawatankuasa itu masih dalam peringkat perbincangan, melibatkan beberapa agensi kerajaan bagi melihat mekanisme yang sesuai untuk menjadikan pusat peranginan tersebut sebagai zon bebas cukai.

"Sebelum ini memang ada cadangan untuk menjadikan Port Dickson sebagai zon bebas cukai. Sekarang kita dalam usaha menubuhkan satu jawatankuasa yang akan melibatkan Jabatan Kastam serta agensi-agensi lain.

"Untuk perkara sebegini, ia ada garis panduannya sendiri...tidak mudah untuk kita laksanakan sebab keputusan akan dibuat oleh Menteri Kewangan. Jadi perancangan harus dilakukan dengan teliti," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata langkah ini juga adalah sebahagian daripada usaha bagi menambah lebih ramai jumlah pelancong tempatan mahupun luar negara untuk datang dan bermalam di Port Dickson.

Dalam pada itu, Muhammad Syamim berkata, MPPD dengan kerjasama Pejabat Projek Zon Selatan, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (Plan Malaysia) juga dalam perancangan mewujudkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pesisiran Pantai Port Dickson yang kini masih dalam peringkat penyediaan draf awal RKK meliputi kawasan pesisiran pantai sepanjang 61 kilometer.

"Dalam memantapkan perancangan ini kita membuat publisiti serta penerangan awam dalam meminta pandangan orang awam mengenai cadangan perancangan RKK yang dijangka siap pada Ogos 2019," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan