AM

102 warga asing ditahan dalam Op Bersepadu Imigresen Kedah

08/07/2019 09:38 AM

LANGKAWI, 8 Julai (Bernama) -- Seramai 102 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Kedah di 90 lokasi di pulau ini dalam tempoh dua hari Op Bersepadu dilaksanakan bermula Jumaat hingga semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan S. Ravathi Sinnathamby bersama empat pegawai kanan dan 13 anggota itu menyasarkan lokasi seperti kelab pelayaran, marina persendirian, pulau peranginan persendirian, kawasan sekitar Pantai Chenang dan tapak pembinaan.

Lokasi sasaran yang lain ialah rumah kongsi pekerja, rumah sewa serta premis perniagaan seperti kedai runcit, restoran, gerai makan, kelab malam dan kedai cuci kereta.

Bercakap pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi, di sini awal pagi tadi, beliau berkata sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,000 orang diperiksa melibatkan pelbagai kewarganegaraan termasuk penduduk tempatan.

"Semua yang ditahan berusia antara satu hingga 48 tahun terdiri daripada 53 warga Myanmar, 22 warga Bangladesh, 11 warga Indonesia, sembilan warga Thailand, dua warga Pakistan, satu warga India, dua warga Nepal dan dua kanak-kanak warga Thailand.

"Mereka ditahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu disyaki telah menyalahgunakan pas dan bekerja menggunakan Pas Lawatan Sosial; melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) iaitu tidak mempunyai apa-apa dokumen dan perjalanan atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) iaitu telah tinggal lebih masa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen Kompleks KDN Langkawi untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

“Jabatan Imigresen akan pergiatkan lagi operasi tangkapan dan pembersihan sebaik mungkin untuk memastikan tiada lagi pendatang asing tanpa izin sewenang-wenangnya datang bekerja tanpa memiliki sebarang dokumen yang sah di pulau ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan