EKONOMI

Pengarah Urusan baharu terajui Aerospace Composites Malaysia

11/07/2019 03:25 PM

ALOR SETAR, 11 Julai (Bernama) -- Aerospace Composites Malaysia (ACM) hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Urusannya yang baharu, Justin Franke berkuat kuasa serta-merta menggantikan Jose Garza yang bertukar ke Boeing Aerostructures Australia.

Naib Presiden Operasi dan Pembangunan Perniagaan China Boeing Commercial Airplanes Ian Chang berkata Justin mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan eksekutif dan pengurusan pembekal.

Katanya Justin yang menyertai Boeing pada 1996 sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Perunding, Kontrak Rantaian Bekalan Boeing Commercial Airplanes.

Sebelum itu, beliau menggalas tugasan di pelbagai rangkaian Boeing serta pernah berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah Boeing Tianjin Komposit (BTC) dan menjadi Lembaga Pengarah ACM pada tahun lepas.

“Saya mempunyai keyakinan bahawa peranan berbentuk kepimpinan yang pernah digalas akan menjadikan Justin sebagai pengganti yang sesuai untuk menerajui ACM ke fasa pertumbuhan seterusnya di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu Justin berkata ACM telah mengembangkan inovasi, melabur dalam teknologi dan sumber manusia untuk menjadi peneraju dunia yang diiktiraf dalam pembuatan komposit aeroangkasa.

"Saya amat berbangga untuk menyertai pasukan berkemahiran tinggi dan berdedikasi serta berharap dapat membina asas dan pencapaian cemerlang yang ditetapkan oleh Jose dan pasukannya sebelum ini," katanya.

Ditubuhkan pada 1998, ACM yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam merupakan sebuah syarikat usaha sama antara syarikat Amerika Syarikat (AS), Boeing dan Hexcel, merupakan peneraju dunia dalam membekalkan produk dan pemasangan komposit kepada industri aeroangkasa global.

Pada 2005, ACM menjadi pengeluar komposit aileron tunggal dunia untuk pesawat komersial Next-Generation 737.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan