KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet hari ini memutuskan hutang negara pada 2018, berdasarkan perakaunan akruan adalah berjumlah RM1.090 trilion berbanding RM1.087 trilion pada tahun sebelumnya.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jumlah itu merangkumi hutang kerajaan Persekutuan (RM741 bilion), jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan (RM132.7 bilion) serta hutang bersih 1Malaysia Development Bhd (RM32.2 bilion).
Ia juga meliputi liabiliti lain iaitu perkongsian awam-swasta (PPP), inisiatif kewangan swasta (PFI) dan PBLT Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Pembinaan BLT Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dengan jumlah RM184.9 bilion, katanya kepada pemberita di Parlimen di sini, hari ni.
Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai Penyata Pertama Sesi 2018-2020 bagi Hutang dan Liabiliti Kerajaan.
Beliau berkata kerajaan telah beralih kepada perakaunan akruan sejak 2011 selaras dengan manual yang dikeluarkan Tabung Kewangan Antarabangsa berkenaan Perangkaan Hutang Sektor Awam yang menggunakan asas tersebut.
Kerajaan juga telah membuat keputusan untuk beralih daripada pelaporan berasaskan tunai kepada akruan pada 2015 dengan migrasi akan berlaku sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi, katanya.
Mustapa berkata perakaunan akruan perlu melihat kepada aset dan liabiliti sepenuhnya termasuk tanggungan masa depan berbanding tunai yang hanya melihat kepada transaksi sahaja.
“Perbezaan dahulu dan sekarang, jawatankuasa ini berkeputusan kita perlu mengambil kira liabiliti kerana ia merupakan tanggungan kerajaan yang perlu dibayar,” katanya.
Beliau berkata kedudukan pinjaman yang ditanggung kerajaan dengan telah menjamin sejumlah RM266 bilion bagi pelbagai entiti juga perlu diambil kira memandangkan sebahagian entiti tersebut mampu membayar hutangnya sendiri manakala selainnya telah menjadi tanggungan kerajaan -- pokok dan faedah.
Daripada jumlah jaminan kerajaan Persekutuan (RM266 bilion), jaminan yang perlu ditanggung adalah RM137.93 bilion dengan antaranya TRX City Sdn Bhd (RM3.6 bilion), SRC International (RM485 juta) dan 1Malaysia Development Bhd (RM5 bilion), katanya.
Beliau berkata bagi jaminan yang tidak perlu ditanggung pula berjumlah RM128.54 bilion termasuk antaranya Perbadanan PR1MA Malaysia (RM5 bilion) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (RM37.7 bilion).
Dari sudut projek yang perlu ditanggung sepenuhnya seperti projek di bawah DanaInfra Nasional Bhd seperti Pan Borneo dan Transit Aliran Massa 1 yang meminjam sejumlah RM52.74 bilion, ia perlu diambil kira sebagai liabiliti walaupun dijamin kerajaan sepenuhnya selain merupakan projek yang baik untuk rakyat dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi.
Mustapa berkata mengenai 1MDB, komitmen hutang adalah terdiri daripada nilai sukuk dan bon yang merangkumi prinsipal (RM32.2 bilion) dan faedah (RM11.4 bilion) malah setakat ini kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM8.9 bilion sebagai bayaran penyelesaian dan bayaran faedah.
Beliau berkata beberapa ukuran yang digunakan untuk mengenal pasti beban hutang ke atas kedudukan kewangan kerajaan.
Antaranya, nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 51.2 peratus dan sekiranya diambil kira hutang serta liabiliti mengikut prinsip perakaunan akruan ia berada pada paras 75.4 peratus pada akhir 2018, katanya.
Beliau berkata nisbah defisit kerajaan pada tahun ini disasarkan pada paras 3.4 peratus daripada KDNK berbanding perancangan kerajaan sebelumnya yang menjangkakan diturunkan kepada 2.4 peratus.
Nisbah bayaran khidmat hutang berbanding hasil kerajaan berada pada paras 13.1 peratus bagi 2018 dan ini bermakna bagi setiap seringgit hasil 13.1 sen adalah untuk membayar hutang, katanya.
Beliau berkata sebagai langkah berhemat, jawatankuasa itu mengesyorkan beberapa langkah yang perlu dilaksanakan untuk memperkukuh pengurusan di samping meningkatkan ketelusan dalam konteks hutang dan liabiliti negara.
Mustapa berkata hutang ini perlu dipantau rapi berpandukan beberapa nisbah.
“Jawatankuasa mahu kedudukan hutang dan liabiliti dibentangkan di Parlimen, serta rekod-rekod dimantapkan untuk mengetahui obligasi berkenaan jaminan kerajaan (GG), PPP, PFI dan PBLT, serta membuat penilaian dari semasa ke semasa ke atas senarai yang mampu ditanggung dan tidak perlu ditanggung,” katanya.
Beliau berkata jawatankuasa itu turut menyarankan kerajaan menetapkan had berkanun atau had pentadbiran ke atas jumlah terkumpul GG manakala peruntukan dan perbelanjaan untuk membiayai liabiliti lain perlu diperincikan dan dilaporkan selain memperkenalkan kod butiran khusus dalam anggaran belanjawan tahunan.
Jawatankuasa juga perlu mengetahui perbelanjaan sebenar pembayaran hutang, yang dilaksanakan pada masa ini pada paras 13.1 peratus, kerana ia perlu terus dipantau dari semasa ke semasa termasuk nisbah khidmat hutang berbanding KDNK serta nisbah defisit kepada KDNK, katanya.
Beliau berkata selain itu jawatankuasa berkenaan mengesyorkan kerajaan membuat analisis dari semasa ke semasa mengenai beban hutang negara berbanding negara lain, khususnya negara di rantau ASEAN serta beberapa negara maju untuk mengetahui kedudukan sebenar negara.
Berdasarkan jumlah hutang negara, Mustapa berkata isu negara akan bankrap adalah tidak berkaitan memandangkan setiap negara sememangnya berhutang dan Malaysia tidak pernah gagal dalam membuat pembayaran.
Beliau berkata pinjaman bagi menjana pendapatan ekonomi adalah perlu bagi negara membangun, namun penekanan penting seharusnya diberikan agar keberkesanan kos bagi projek yang dijalankan serta kemampuan membayar balik dapat dicapai.
“Kita juga tidak harus melihat kepada angka sebenar RM1.1 trilion tetapi kepada nisbah yang relevan berdasarkan kemampuan pembayaran balik melalui projek yang dilaksanakan bagi menjana pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan disarankan terus memantau nisbah tersebut kerana ia menentukan kemampuan kita untuk berbelanja,” katanya.
Beliau berkata walaupun ada pertambahan hutang, ekonomi negara masih terus berkembang, dan ia antara faktor untuk kerajaan mengambil kira nisbah berkenaan.
Kerajaan sewaharnya meneruskan langkah konsolidasi fiskal agar nisbah ini dapat diuruskan secara terbaik, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial