SHAH ALAM, 24 Julai (Bernama) -- Proses pemulihan keseluruhan gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur ekoran pencemaran diesel di Sungai Selangor mencapai tahap 98 peratus setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata susulan perkembangan positif, pihaknya menyasarkan pemulihan sepenuhnya gangguan belakan air di keseluruhan kawasan yang masih terjejas pukul 9 pagi Jumaat ini.
“Pemulihan gangguan bekalan air di kawasan Kuala Lumpur setakat ini mencapai tahap 99 peratus; Petaling (98 peratus), Klang/Shah Alam (97 peratus) dan Kuala Langat (99 peratus).
“Bagaimanapun, bantuan lori-lori tangki masih digerakkan dengan memberi fokus kepada kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya dan berdasarkan status pemulihan terkini, Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, bagi wilayah Petaling, kawasan yang masih dalam proses pemulihan gangguan bekalan adalah di Bandar Kinrara, Bandar Tasik Selatan, Bandar OUG, Desa Petaling, Jalan Klang Lama Batu 3 hingga 8, Kampung Baru Salak Selatan, PPR Pinggiran Bukit Jalil, Salak South Baru, Seksyen 20 Petaling Jaya, SS1, SS4, SS23 hingga SS26, Taman Bukit Indah, Taman Castlefield, Taman Continental, Taman Gembira, Taman Salak Jaya, Taman Salak Selatan dan Taman Sungai Besi.
Bagi kawasan Klang/Shah Alam pula, kawasan yang masih terjejas adalah Armada Putera, Glenmarie Cove, Kampung Pulau Indah, Kampung Telok Gong, Laguna Park, Perindustrian Pulau Indah Fasa 1 dan 2, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Ketam, Taman Samudera, Taman Sentosa, Taman Sri Andalas dan Westport.
“Untuk Kuala Lumpur, kawasan masih mengalami gangguan bekalan air adalah di Flat Sri Melaka, Perumahan Sommerset Close (Jalan Yaakob Latif) dan Taman Cahaya manakala bagi kawasan Kuala Langat pula di Batu 7 hingga Batu 9 Sijangkang serta Batu 9 Kampung Medan,” katanya.
Tambah beliau, PKS yang masih diaktifkan adalah di Seksyen 17, Petaling Jaya dan Jalan Merah Silu, Sri Petaling bagi kawasan terjejas di wilayah Petaling; Taman Rekreasi Bandar Parkland, Jalan Delima 8, Bandar Parkland serta Taman Rakyat Taman Sri Andalas Klang bagi wilayah Klang selain di Jalan Dagang 1, Taman Dagang Ampang untuk Kuala Lumpur.
Abdul Raof berkata Air Selangor sedang meningkatkan usaha mempercepatkan pemulihan gangguan bekalan air di kawasan terjejas dan pengguna diminta menggunakan air dengan berhemah sepanjang proses pemulihan tersebut.
Katanya, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air melalui aplikasi ‘Air Selangor’ pada telefon pintar atau menerusi laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.
Pada Ahad lepas, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dekat sini terpaksa dihenti tugas yang mana menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial