ADEN (Yaman), 1 Ogos (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 25 anggota terbunuh pada Khamis dalam dua serangan puak Houthi terhadap perarakan tentera di Aden, Yaman, lapor agensi berita Anadolu memetik sumber tentera.
"Kumpulan Houthi menyerang perbarisan tentera di kem Al-Jala di daerah Al-Buraiqeh, " kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.
Menurut sumber, serangan itu menyebabkan 25 tentera maut termasuk Brigadier Jeneral Mounir al-Yafie.
Terdahulu, tiga anggota keselamatan terbunuh dan berbelas lagi cedera dalam satu serangan bom kereta ke atas sebuah balai polis di daerah Sheikh Othman, di Aden.
Yaman terhumban ke kancah perang saudara pada 2014 apabila puak Houthi menawan kebanyakan kawasan di negara itu termasuk ibu negara, Sana'a, memaksa kerajaan berundur ke Arab Saudi.
Setahun kemudian, Arab Saudi dan beberapa sekutu Arabnya melancarkan serangan udara besar-besaran bertujuan menawan kembali kawasan yang dikuasai Houthi.
Perang saudara itu menyebabkan banyak kemusnahan infrastruktur, termasuk sistem kesihatan dan kumbahan, mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan keadaan di sana sebagai 'satu bencana kemanusiaan terburuk pada zaman moden'.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial