KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Syarikat pinjaman wang atau 'Ah Long' bertindak agresif dengan menampal poster individu yang gagal membayar pinjaman di seluruh kawasan kampung bertujuan memalu serta menakut-nakutkan peminjam.
Seorang mangsa dikenali sebagai Khairul, 37, dari Terengganu berkata poster mukanya dengan tulisan 'Pinjam Wang, Bayar Wang' ditampal di stesen bas serta masjid selepas gagal melunaskan hutang yang dikatakan berganda kepada lebih RM19,000.
Mengakui tersilap, bapa kepada dua orang anak itu berkata beliau hanya meminjam RM1,200 daripada Ah Long untuk dijadikan modal membuka warung di depan rumahnya.
"Selepas gagal membayar mengikut tempoh ditetapkan, hutang makin bertambah dan mengikut perkiraan saya telah bayar hampir RM7,000 kepada Ah Long.
"Ah Long bertindak menampal poster muka saya di seluruh kampung menyebabkan perniagaan merosot, ini menyebabkan orang kampung tidak datang ke kedai makan serta menjauhkan diri daripada kami sekeluarga," katanya dalam sidang media di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Khairul berkata beliau turut meminta dua anak perempuan yang sedang belajar di universiti menangguhkan pembelajaran buat seketika kerana bimbangkan keselamatan diri mereka yang sering diganggu Ah Long.
"Lebih menyedihkan anak bongsu akan melanjutkan pelajaran di Jepun pada bulan ini…tidak tahu sama ada dia mampu pergi atau tidak lagi," katanya.
Sementara itu, Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan berkata taktik baharu dengan menampal poster peminjam amat kejam dan ia menyebabkan emosi mangsa terganggu.
"Peminjam tidak boleh lakukan apa-apa kerja dan mungkin dipulaukan kerana tiada mana-mana pihak ingin membantu mereka kerana bimbang akan turut dikacau oleh Ah Long.
"Keluarga Khairul kini berada di bawah perlindungan PPIM buat sementara waktu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial