AM

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

24/08/2019 09:38 PM

KAMPAR, 24 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 400 batang buluh digunakan untuk menghasilkan replika sarang burung tempua setinggi 10 meter (m) dan 6.66m lebar seterusnya dinobat sebagai ciptaan terbesar di Malaysia. 

Ciptaan replika oleh 700 pelajar dan 100 guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kampar di sini bersama 40 komuniti setempat itu berjaya melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR). 

Menurut pengarah projek, Muzafar Saari, pembinaan replika itu mengambil masa selama empat bulan apabila mula dibina pada awal Mei dan siap sepenuhnya 18 Ogos lalu. 

"Kita turut menggunakan setengah tan besi konkrit, 12,000 batang paku, satu lori daun rumbia selain dawai dan tali plastik untuk menghasilkan replika ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM18, 340 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk orang perseorangan," katanya kepada Bernama. 

Sijil MBOR disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR ,Christopher Wong, kepada guru besar Mohamad Azhar Ariffin pada Majlis Perasmian Reka Cipta Replika Sarang Burung Tempua Terbesar di Malaysia di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Menurut Muzafar yang juga guru pendidikan seni visual, sarang burung tempua dipilih sebagai objek reka cipta itu bagi melihat tahap kreativiti pelajar menghasilkan replika  menggunakan kaedah anyaman unik burung tempua yang sebenar.

Selain itu, beliau berkata pelajar dapat mengembangkan bakat semulajadi dan kreativiti seni di samping mencetuskan suasana pembelajaran yang menarik serta menyeronokkan menerusi projek itu.

Katanya, projek itu turut dilihat mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerjasama antara warga sekolah dengan komuniti setempat.

Mengenai cabaran dihadapi, Muzafar berkata, antaranya yang dihadapi adalah kesukaran mendapatkan daun yang tahan lasak selain cuaca tidak menentu. 

"Apabila hujan kami terpaksa berhenti kerja, tapi replika ini tidak terjejas kerana ada lapisan plastik," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan