AM

Bukan bas mini lama - Rapid KL Bus

29/08/2019 07:18 PM

​KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama)​ ​--​​ Bas mini yang akan diperkenalkan semula di ibu negara bukan seperti bas-bas mini merah jambu yang warga kota lazim dengannya 25 tahun yang lepas, yang padat dan tidak berhawa dingin.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij berkata tempoh percubaan ​dari 1 Sept hingga 29 Nov​ itu di Route T300 akan menggunakan bas mini baru bersaiz lapan meter panjang, lengkap dengan penghawa dingin dan bukan bas-bas lama seperti yang viral sejak semalam. 

Bas berkapasiti 27 tempat duduk penumpang itu dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan antara 15 minit dan 20 minit dalam laluan percubaan itu antara Hab Bukit Indah ke Ampang Point selain dapat meningkatkan kekerapan perjalanan​ kepada 15 kali sehari, katanya kepada pemberita pada sesi taklimat dan previu mengenai percubaan perkhidmatan bas mini Rapid KL di sini, hari ini.

“​Sekarang, yang digunakan adalah b​as ​bersaiz​ besar dan susah​ untuk​ sampai ​ke kawasan berpenduduk padat dan berlaluan sempit seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR)​. Kerap kali kita terlewat daripada jadual kerana masalah kereta yang diparkir di tepi jalan. 

"Dengan bas mini ini, kita harap dapat meningkat dan memperbaiki perkhidmatan di kawasan-kawasan itu selepas semua data dikumpul sepanjang tiga bulan itu," katanya.

​Mengulas lanjut, selain faktor penjimatan masa, Rapid KL juga akan menilai penjimatan terhadap kos penyelenggaraan dan penggunaan bahan api dengan menggunakan bas mini itu berbanding bas yang berkapasiti lebih besar​.

"Setakat ini, bas ​di bawah kendalian Rapid KL adalah bersaiz 12​m panjang ​bagi bas dua tingkat​ dan satu tingkat​ serta 10​m panjang ​bagi bas ​perantara ke stesen​ MRT​," katanya. ​

Sepanjang tempoh percubaan itu,​ Muhammad Yazurin menjelaskan​ tiada perubahan ke atas sistem dan kadar tambang serta hentian bas​ dengan ​​kadar tambang dikekalkan sebanyak 80 sen secara pembayaran elektronik sepenuhnya dengan menggunakan kad My50 dan My100​.

​"Kami ​mengalu-alukan maklum balas daripada pengguna​ ​sepanjang tempoh perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi​​ Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my​," katanya. ​

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan