KUCHING, 30 Ogos -- Shandong Academy of Agricultural Sciences berminat bekerjasama dengan Sarawak dalam pengeluaran jagung hibrid secara besar-besaran.
Timbalan Pengarah merangkap ahli agronomi kanan akademi itu dari Institute of Maize Research, Kai Chen dan Pengerusi Lembaga Pengarah Guang Dong Foshan Yanchen Biological Technology Co Ltd Li Jun Ru membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk meneruskan kerjasama tersebut di pejabatnya hari ini.
Menurut Kai Chen, kumpulan itu telah mendengar hasrat Sarawak untuk menanam jagung terutamanya sebagai makanan haiwan berikutan negeri ini memerlukan bekalan yang mencukupi dan mula meningkatkan industri ternakannya dan menyasarkan sara diri pada masa depan.
"Menurut Uggah, Sarawak berminat untuk menghasilkan benih dan pengeluaran jagung yang lengkap, dan ini akan dijual kepada pekebun kecil,” katanya kepada pemberita di sini.
Kai Chen berkata Sarawak mengimport kira-kira 500 juta tan jagung setahun untuk industri ternakannya.
"Institut kami menghasilkan jagung hibrid dalam jumlah yang besar dan kualiti yang amat tinggi. Jagung dengan kualiti tinggi akan menjadikan daging lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata Shandong Academy of Agricultural Sciences merupakan antara akademi pertanian yang terbaik di seluruh China dalam penyelidikan dan pengeluaran produk pertanian.
"Di bawah cadangan kerjasama kami, kami boleh membawa masuk teknologi dari China ke negeri ini terutamanya dalam pengeluaran jagung berikutan kami dapat menghasilkan 13 tan setiap hektar.
"Kerjasama ini, sudah tentu, akan berdasarkan kepada asas kerajaan kepada kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial