AM

Tengku Hassanal zahir takziah kepada mangsa kebakaran Sungai Lembing

31/08/2019 02:20 PM

KUANTAN, 31 Ogos -- Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah hari ini, menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa kebakaran di Sungai Lembing di sini yang berlaku awal pagi tadi. 

Baginda juga menzahirkan kesedihan terhadap kematian pasangan suami isteri warga emas yang difahamkan terperangkap di rumah mereka, yang merupakan lokasi pertama kebakaran. 

"Saya berharap mereka yang terlibat dapat bersabar dan bersatu untuk membangunkan semula pekan ini... dalam keadaan seperti ini, kita harus saling tolong-menolong. 

"Agensi yang terlibat juga saya minta supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu mangsa di sini," titah baginda semasa ditemui pemberita selepas mencemar duli meninjau lokasi dan menziarah mangsa di sini, hari ini. 

Tengku Hassanal yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri berangkat tiba pada 12.15 tengah hari dan disembah maklum mengenai kejadian oleh Pegawai Daerah Kuantan Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah. 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah, Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohamad. 

Tengku Hassanal kemudiannya berkenan mencemar duli ke Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini, untuk bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa yang ditempatkan sementara di situ. 

Baginda bertitah kejadian itu juga telah disembah maklum kepada ayahanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini bersemayam di Istana Negara. 

Pada kejadian 1.30 pagi tadi, sebanyak 32 bangunan di Sungai Lembing di sini, meliputi 20 buah premis kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri telah meluluskan sumbangan segera berjumlah RM1,000 kepada mangsa kebakaran, yang melibatkan 29 keluarga dan 53 orang. 

Selain itu, bantuan lain seperti barang keperluan asas dan makanan turut disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan