AM

Falsafah Melayu disebalik pemakaian dan ikatan tanjak

03/09/2019 12:04 PM

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

MELAKA,3 Sept  -- Dari jauh kelihatan, sekumpulan pelancong  sedang mengerumuni seorang lelaki segak memakai busana Melayu duduk bersila di anjung rumah Hang Lekiu, Perkampungan Hang Tuah, Duyong dekat sini.

Seketika lelaki berbaju songket lengkap bertanjak dan bersampin itu membetulkan keris pada pinggangnya sebelum melontarkan bicara mengenai sejarah asas pemakaian tanjak kepada tetamunya.

Aktivis sosio-budaya negeri Melaka, Dr. Huzaifah Datuk Hashim berkata pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tanjak adalah identiti bagi seseorang, daripadanya kita dapat melihat status, pangkat, asal-usul dan juga peribadi seseorang.

“Orang Melayu dahulu menjadikan busana bagi menceritakan tentang dirinya kerana pada waktu itu belum ada kad pengenalan seperti hari ini,” katanya kepada Bernama sambil mengunting kertas keras berbentuk segi empat tepat untuk dijadikan sebagai asas dalam lipatan tanjak,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Ketua umum, Pusat Warisan Dan Kebudayaan Melayu (Perantara) berkata  adalah lebih baik jika penyolek tanjak (pembuat tanjak) mengenali secara peribadi pemakainya terlebih dahulu agar ianya bersesuaian dengan individu terbabit.

"Tiga sifat asas yang perlu ada pada sebuah  tanjak ialah tapak, simpul dan solek ..itu lah ciri asas yang perlu ada bagi tanjak tidak kira samada tanjak warisan (Tradisional) ataupun tanjak moden yang digubah bersesuaian dengan zaman ini.

“Destar bermaksub lilitan kepala, di Alam Melayu (Tanah Melayu) destar terbahagi kepada tiga iaitu tengkolok yang biasa dipakai oleh wanita, tanjak pula dipakai oleh lelaki dan Semutar pula lilitan kepala lelaki yang popular di Pantai Timur,”katanya sambil membetulkan kedudukan kain keras sebelum di jahit pada kain songket dalam proses membuat tanjak.

Beliau berkata bilangan takuk pada bahagian tapak tanjak melambangkan status seseorang, iaitu satu tingkat bagi rakyat biasa, tiga tingkat bagi pembesar istana dan lima tingkat keatas bagi Raja ataupun Sultan.

“Selain itu juga status dan pangkat pemakai tanjak digambarkan pada bahagian solek, tanjak bagi rakyat biasa kedudukan solek menuju kearah kiri, manakala bahagian solek pada tanjak Sultan atau raja menuju kearah kanan,”katanya mula membuat lipatan pada bahagian tapak sebelum membuat mengubah pada bahagian solek tanjak iaitu proses akhir dalam menghasilkan tanjak.

Sementara itu, penyolek tanjak, Masrizat Rahmat, 40 dari Duyong  berkata sejak kebelakangan ini, generasi muda mula semakin berani dan tidak lagi rasa malu untuk memakai tanjak walaupun tidak berpakaian lengkap.

“Bagi saya ini adalah merupakan satu permulaan yang baik untuk generasi muda mula menghidupkan kembali amalan memakai tanjak yang menjadi pakaian kemegahan bagi orang melayu satu ketika dahulu,”katanya

Beliau berharap amalan memakai tanjak dan busana melayu ini akan diteruskan oleh generasi muda agar ianya tidak pupus dan tidak hanya menjadi bahan pameran di muzium satu hari nanti.

Guru sebuah sekolah di Duyong itu berkata penghasilan tanjak setiap penyolek tanjak adalah tidak sama ianya berbeza mengikut kreativiti atau ‘air tangan’ masing-masing namum tetap membawa benda yang sama.

Katanya sebagai contoh ikatan ‘Ayam Patah Kepak’ setiap penyolek tanjak setiap aliran dan guru adalah berbeza mengikut tempat dan negeri namum masih mempunyai ciri-ciri warisan yang sama.

“Bagi saya membuat tanjak seperti memasak asam pedas, rasa masakan yang dihasilkan oleh tukang masak adalah berbeza tetapi tetap memasak benda yang sama iaitu asam pedas,”katanya.

--BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan