KUALA LUMPUR, 26 Sept -- Hubungan Arab Saudi dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama dijangka terus berkembang lagi dalam pelbagai sektor lain seperti pelancongan dan ekonomi, kata duta negara teluk itu ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan.
“Ketika ini, kedua-dua negara sedang bekerjasama menerusi Jawatankuasa Bersama Saudi-Malaysia yang dijangka memulakan mesyuarat pertamanya dalam masa terdekat bagi meningkatkan jumlah perdagangan dan pembangunan pelaburan bersama,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan Arab Saudi ke-89 di sini, Rabu.
Beliau berkata nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun lalu mencecah US$4.351 bilion (RM18.25 bilion) dengan US$3 billion daripadanya merupakan eksport Arab Saudi ke Malaysia.
Kira-kira 2,000 tetamu hadir pada majlis tersebut dan disajikan dengan pelbagai juadah Arab termasuk nasi mandi, kopi Arab dan beraneka kuih-muih manisan.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, duta-duta asing, para pegawai kanan kerajaan dan komuniti rakyat Arab Saudi di Malaysia.
Tetamu turut doihiburkan dengan persembahan ‘Tarian Arda’, tarian tradisional masyarakat Arab Saudi.
Hari Kebangsaan Arab Saudi disambut pada 23 Sept setiap tahun bagi meraikan pembentukan negara itu daripada kerajaan Najd dan Hijaz oleh Raja Abdulaziz Abdul Rahman pada 1932.
Menyentuh mengenai industri pelancongan, haji dan Umrah, Qattan berkata kedatangan pelancong Arab Saudi ke negara ini meningkat kepada 112,000 pelancong pada 2018 berbanding 96,000 pada 2017.
Jelasnya lagi, bilangan rakyat Malaysia menunaikan umrah turut meningkat kepada 284,000 orang pada 2018 berbanding 249,000 pada 2017.
Sementara itu, beliau berkata rakyat Malaysia juga berpeluang mendapatkan visa pelancong untuk meneroka pelbagai destinasi pelancongan dan bandar Arab Saudi.
Menurut laporan media, Arab Saudi dijangka melancarkan visa baharu pelancongan pada 27 Sept yang akan membolehkan rakyat dari 51 negara termasuk Malaysia berkunjung ke negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial