AM

Program Subsidi Petrol dilaksana 1 Januari 2020

08/10/2019 02:12 AM

PUTRAJAYA, 7 Okt -- Program Subisidi Petrol (PSP) akan dilaksana bermula 1 Januari 2020 yang bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenderaan di Semenanjung Malaysia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Kadar subsidi adalah sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal," katanya pada sidang media mengenai Program Subsidi Petrol di sini hari ini.

Berikutan pelaksanaan PSP pada 1 Januari 2020, Saifuddin Nasution berkata harga petrol RON95 akan diapungkan bermula serentak.

"Penyelasaran harga RON95 akan diapung secara berperingkat dan tidak akan membebankan pengguna," katanya.

Saifuddin Nasution menjelaskan subsidi petrol sedia adalah secara pukal yang dinikmati semua orang tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan, akan diubah kepada golongan sasar yang layak, iaitu warganegara Malaysia berpendapatan rendah yang sangat memerlukan bantuan tersebut.

Dengan tanggungan pelaksanaan PSP sebanyak RM65.4 juta sebulan, beliau berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali dengan bayaran pertama akan dibuat pada April 2020.

"Kriteria penerima PSP adalah merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) di Semenanjung Malaysia yang memiliki kenderaan atas nama sendiri dan cukai jalan yang sah,”katanya.

Menghuraikannya, Saifuddin Nasution berkata penerima PSP perlu memenuhi kriteria pemilikan kenderaan yang telah ditetapkan iaitu kereta 1600cc dan ke bawah dan bagi kereta melebihi 1600cc, ia berumur 10 tahun dan ke atas.

Kategori motosikal yang layak pula ialah motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berumur tujuh tahun dan ke atas, katanya.

"Individu yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan hanya layak menerima subsidi untuk satu kenderaan sahaja mengikut kadar yang lebih tinggi,”katanya.

Bagi rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, Saifuddin Nasution berkata mereka akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter setelah kerajaan mengambil kira keperluan mereka yang kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

"Oleh itu, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95," katanya.

Saifuddin Nasution berkata penerima BSH boleh menyemak kelayakan mereka di laman web psp.kpdnhep.gov.my bermula 15 Okt ini.

"Bagi mereka yang namanya tidak ada dalam senarai penerima namun merasakan mereka layak berdasarkan kriteria yang diberikan boleh membuat rayuan secara atas talian di laman web yang sama bermula 15 Okt," katanya.

Ditanya adakah penerima PSP akan terus menikmati subsidi tersebut sekiranya harga minyak dunia turun, Saifuddin Nasution berkata : "Sekiranya harga minyak stabil pada bulan Januari dan Februari dan jatuh menjunam pada Mac dan April, bayaran PSP akan tetap dilaksanakan pada April."

Namun, katanya jika harga terus menjunam maka perkara itu akan dibincangkan secara lanjut oleh kerajaan.

Ditanya adakah golongan M40 akan turut dimasukkan sebagai penerima PSP di masa akan datang, beliau berkata : "Jika ditanya apa dalam pemikiran, saya ingin memperluaskan PSP kepada  M40. Saya akan mengutarakan perkara ini dalam mesyuarat kabinet akan datang."

Mengenai kegusaran orang ramai berlakunya kenaikan harga barang dengan pelaksanaan PSP itu, Saifuddin Nasution berkata 2,300 pegawai pemantau harga akan meningkatkan aspek pemantauan bagi mengekang perkara itu.

"Orang ramai juga boleh melaporkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzADU, portal e-aduan dan whatsapp KPDNHEP 019-2794 317 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang terdekat," katanya. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan