BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 FOKUS BERNAMA

Pelbagai Bahasa Mekar Di Bumi Makkah, Madinah

11/10/2019 12:34 PM

Oleh Fadzli Ramli

MAKKAH (Bernama) -- Mengasah kembali kemahiran berbahasa Inggeris dan mempelajari beberapa ayat lazim dalam bahasa Arab adalah antara persediaan untuk melancarkan ibadah haji dan tugas liputan media saya di kota suci Makkah dan Madinah baru-baru ini.

Persepsi awal saya bahasa Arab dan Inggeris akan menjadi bahasa berkomunikasi utama saya di Tanah Suci ini, namun sapaan pemuda berketurunan Arab-Pakistan bernama Mustaffa, 25, serta rakannya Ahmad Ansyar, 22, dalam bahasa Malaysia loghat Kelantan membuatkan saya tersenyum.

Mereka bertugas sebagai jurujual di kedai Khair Al Bilad Dates di bangunan Hotel Al-Haram, Madinah.

Kemampuan mereka berkomunikasi dengan saya dalam bahasa Melayu yang baik walaupun tidak begitu lancar, menarik perhatian saya untuk mengetahui tentang kepelbagaian bahasa di Makkah serta Madinah.

 

SEBUAH KEPERLUAN

Menurut Mustaffa pelbagai sebab terdapat kepelbagaian bahasa di Tanah Suci ini, namun sebab utamanya ialah apabila Makkah dan Madinah menjadi tempat tumpuan umat Islam pelbagai bangsa dan dari seluruh pelusuk dunia terutama bagi mengerjakan ibadah haji.

"Peniaga macam kami bila sudah ada ramai pelanggan yang bercakap dalam bahasa tertentu, sudah tentu ada keperluan untuk kami belajar sedikit bahasa itu, tetapi saya belajar bahasa Melayu dan kecek Kelate daripada kawan-kawan sekuliah," katanya kepada Bernama.

Mustaffa berkata sebahagian besar pelanggan yang berkunjung ke kedainya dan kedai sekitar hotel itu adalah rakyat Malaysia kerana hotel itu menjadi tempat penginapan jemaah haji Malaysia di bawah kelolaan Lembaga Tabung Haji (TH). Oleh yang demikian, kebolehan berbahasa Malaysia memudahkan jurujual berinteraksi dengan pelanggan mereka.

Selain Malaysia, kebolehan berbahasa Melayu dan 'kecek Kelate' itu, menurut beliau, amat membantu dalam berinteraksi dan mempromosi barangan jualannya kepada rakyat Thailand, terutama dari selatan negara itu, dan Indonesia.

 

KEPELBAGAIAN BENTUK IDENTITI

Menurut Ahmad Ansyar pula selain berbahasa Arab dan bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris, peniaga kedai kecil tepi jalan sekitar Madinah mampu berbahasa Urdu dan Hindi, bagi menarik perhatian jemaah haji khususnya dari benua Asia.

"Ia juga membuka pandangan dan pemikiran orang muda seperti saya yang suka bertanya tentang pelbagai perkara di negara mereka (pembeli) seperti jemaah Malaysia, saya suka bercakap mengenai macam-macam jenis makanan di negara mereka," katanya.

Pandangan yang sama turut dikongsi Salahuddin, 29, peniaga permaidani dan barang perhiasan di Makkah. Menurut beliau kedatangan ramai orang daripada berbeza latarbelakang, bangsa, budaya dan negara ke Makkah serta Madinah membuatkan negara itu mempunyai identiti yang tersendiri.

Beliau yang mesra dengan panggilan 'Mo Salah' dalam kalangan rakan-rakannya kerana rambut kerinting dan wajahnya persis penyerang handalan Liverpool itu berkata seperti Malaysia, Arab Saudi juga mempunyai latar belakang menarik.

"Bukan anda seorang yang punyai persepsi di Arab Saudi ini majoritinya orang Arab dan berbahasa Arab, sebenarnya sejarah latar belakang rakyat berbilang bangsa, bahasa dan budaya di sini agak serupa dengan di Malaysia.

"Ramai datang dari negara lain bawa budaya, bahasa dan pelbagai identiti mereka, kemudian mereka menjadi sebahagian daripada penduduk di sini seterusnya membentuk identiti unik rakyat di negara ini, sama juga seperti Malaysia," kata Salahuddin yang berketurunan Arab.

 

BAHASA MELAYU

Apa yang dikatakan Salahuddin itu dapat dilihat melalui kisah latar belakang Muhammad Abdul Rahman, 43, yang mempunyai kiosk minyak wangi dan aksesori di Abraj Janadriyah (Makkah) yang menceritakan datuk beliau berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Muhammad yang dilahirkan di Makkah berkata datuknya datang ke bandar itu sekitar tahun 1950-an menaiki kapal laut untuk mencari rezeki dan tinggal di sini untuk mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa.

"Ramai orang Melayu yang datang ke sini, bukan sahaja dari Malaysia tetapi dari Indonesia dan Thailand. Keturunan Melayu ramai datang dari Kelantan dan Pattani (Thailand) kerana itu ramai orang sini tahu bahasa Melayu sampai orang Arab pun tahu cakap Melayu.

"Walaupun tinggal di sini Malaysia tetap di hati. Kami masih orang Melayu kerana keluarga memang masih ramai di sana dan ada juga datang sana melawat keluarga. Saya bertemu jodoh pun di Malaysia, isteri saya orang Batu Pahat, Johor," katanya.

Beliau berkata ramai pelanggannya di Abraj Janadriyah adalah jemaah haji Malaysia dan selain boleh berbahasa Melayu untuk menjual barangan beliau membantu jemaah haji Malaysia terutama menerangkan tentang budaya masyarakat di sini yang juga suatu ibadah untuknya.

 

CABARAN BERBAHASA ARAB

Bagaimanapun, buat rakyat Malaysia yang tinggal di sini berinteraksi dengan bahasa asing di sini merupakan suatu cabaran kerana kepelbagaian dialek terutamanya melibatkan bahasa Arab.

Perunding Kos, AECOM Arabia, Mohd Rus Abbas, 41, berasal dari Sabak Bernam, Selangor berkata rakyat Malaysia yang mempelajari bahasa Arab secara formal di Malaysia mungkin berdepan kekangan berbahasa Arab di sini kerana kepelbagaian dialek dalam bahasa Arab itu sendiri.

Menceritakan dengan lebih lanjut, beliau yang lapan tahun bekerja di Makkah berkata kebanyakan rakyat tempatan di Arab Saudi menggunakan bahasa Arab 'informal' yang mana ia amat berbeza dengan bahasa Arab yang diajar secara 'formal' dalam kelas-kelas di Malaysia.

"Bila datang ke sini sudah tentu kita bersedia dengan belajar bahasa Arab di Malaysia, tetapi bila sampai di sini kita berbahasa Arab orang sini tanya balik bahasa Arab negara mana anda cakap itu, kerana kebanyakan negara Arab ini punyai dialek bahasa Arab mereka sendiri," katanya.

Seorang lagi Perunding Kos, AECOM Arabia, Mohd Jamal Mohd Yusof, 41, yang tinggal di sini selama enam tahun berkata bahasa Arab berlainan dialek itu menimbulkan sedikit kekangan untuk berkomunikasi dengan rakan sekerjanya, namun ia dapat diatasi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Mohd Rus dan Mohd Jamal sependapat bahawa kekangan itu tidak menimbulkan kesukaran besar buat rakyat Malaysia berkomunikasi dengan baik dengan rakyat tempatan.

Sikap rakyat tempatan yang amat menyukai dan mesra dengan rakyat Malaysia memudahkan mereka serta keluarga memahami bahasa, budaya dan latar belakang masyarakat di sini.

Daripada pemerhatian saya di Makkah dan Madinah, rakyat Malaysia amat popular dalam kalangan masyarakat tempatan di sini, malah peniaga di kedai barangan hiasan dan makanan mampu berbahasa Melayu dengan agak baik.

Melihat Jalur Gemilang yang terpampang megah di lanyard saya, rakyat di sini pantas mengetahui bahawa saya rakyat Malaysia dan mempersilakan saya masuk ke kedai mereka dengan ungkapan bahasa Melayu: "Mari abang masuk, kedai saya jual barang murah-murah,".

Saya hanya mampu tersenyum melihat gelagat peniaga dengan hati yang berbunga dengan perasaan bangga bahawa nama Malaysia amat dikenali. Bahasa Melayu juga menjadi salah satu daripada pelbagai bahasa utama yang mekar di bibir rakyat tempatan di sini.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan