KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Jangan terlalu ghairah untuk mengekploitasi bakat pelari remaja terpantas, Muhammad Azeem Mohd Fahmi pada usia muda dengan mengambil risiko untuk melihat kejayaan segera atlet berusia 15 tahun itu.
Sebaliknya, jurulatih terkenal Amerika Syarikat, Dwayne Miller mahu melihat anak muda dari Perak itu meningkatkan keupayaan mengikut kesesuaian masa selaras dengan usianya tanpa dibebani dengan latihan berlebihan.
Jurulatih antarabangsa itu, yang baru menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), seolah-olah tidak mahu mengambil jalan yang berisiko dengan membebankan ‘Usain Bolt Malaysia’ itu di luar kemampuan had umurnya untuk mencapai kejayaan yang pantas.
Miller, yang pernah melatih beberapa juara Olimpik sebelum ini, berkongsi pandangan sama dengan ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, bahawa Azeem harus menjalani proses secara berperingkat berdasarkan umurnya.
“Saya belum bersemuka dengan atlet muda ini tetapi pernah mendengar pencapaiannya. Beliau amat berbakat dan kita hanya perlu mengilap bakatnya tanpa membebankan dengan latihan berlebihan,” katanya di sini hari ini.
"Ramai jurulatih muda melakukan kesilapan ini….daripada 10.60 saat (s), mereka mahu lihat catatan masa 10.30s dalam jangka waktu yang singkat. Biar Azeem meningkat secara berperingkat.
“Seandainya dia (Azeem) melalui proses peningkatan secara berperingkat dan bebas daripada kecederaan, dia boleh melakukan catatan bawah 10s (100m) pada usia 19 tahun.
“Saya pernah melihat bakat-bakat muda boleh melakukan pada usia muda tetapi selepas beberapa tahun selepas itu mengalami kecederaan. Oleh itu, cara mengurus dan mengilap bakat muda seperti ini amat penting,”kata Miller.
Azeem berjaya mencatatkan masa terbaik 10.63s dalam acara 100m pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 di Johor tahun ini serta 21.13s dalam acara 200m pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) 2019.
Remaja tersebut diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun dalam acara 200m selepas melakukan catatan 21.24s. dalam acara 200m pada kejohanan MSSM itu..
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial