ALOR SETAR, 18 Okt -- Seorang murid perempuan berusia 12 tahun parah, manakala tiga rakannya cedera ringan selepas van sekolah yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di KM13.8 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, Sungai Petani, Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata kejadian berlaku pada pukul 2 petang ketika van itu dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani dan bergesel dengan sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dan terbalik.
Katanya, van tersebut dipandu lelaki berusia 72 tahun dan ketika kejadian, ia membawa tujuh murid dari Sekolah Kebangsaan Dataran Muda, Bukit Selambau.
“Kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 31 tahun yang dari arah Sungai Petani menghala ke Kuala Ketil hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan bergesel dengan van berkenaan yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan van itu patah tangan kanan, tiga pelajar cedera ringan di bahagian kepala, tangan dan kaki manakala tiga lagi pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Adzli berkata kesemua murid yang terlibat berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Katanya, pemandu van dan pemandu Perodua Viva terbabit turut mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan dan kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial