IPOH, 20 Okt -- Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi hari ini meluangkan masa selama sejam menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi mengelilingi bandar raya Ipoh sejauh kira-kira 30 kilometer.
Ahmad Faizal yang menunggang skuter berkuasa tinggi jenis BMW memulakan konvoi itu di kediaman rasmi menteri besar di Jalan Raja Dihilir di sini pada pukul 9 pagi.
Beliau kemudian singgah sebentar di Movie Animation Park Studios (MAPS) sebelum meneruskan konvoi itu yang berakhir di taman tema air, Lost World Of Tambun (LWOT) di sini.
Konvoi bersempena 'Perak Bikers Carnival' yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lepas turut disertai peserta pertandingan ratu cantik, Miss Cosmopolitan World 2019 yang juga diadakan di sini.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita di LWOT berkata penganjuran konvoi itu mampu memperkenalkan keindahan bandar raya Ipoh kepada pelancong tempatan dan asing.
"Saya berharap Perak akan menjadi destinasi kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi seluruh negara meluangkan masa hujung minggu untuk beriadah," katanya.
Seramai 2,500 penunggang motosikal berkuasa tinggi termasuk dari Singapura dan Thailand menyertai 'Perak Biker Carnival' yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, Tourism Perak, Persatuan Pelancongan Negeri Perak serta MAPS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial