KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Kerajaan sedang mengkaji untuk merangka undang-undang bagi mengelak berlakunya penindasan majikan ke atas kebajikan pekerja ekonomi gig demi membela nasib dan menjaga kebajikan pekerja dalam sektor itu di negara ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata ketika ini negara masih belum mempunyai garis panduan atau peraturan berkaitan yang membolehkan tindakan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang didapati menindas pekerja sektor ekonomi gig.
“Food Panda adalah antara yang pertama memperkenalkan ekonomi gig di Malaysia. Pada masa mereka perkenal sistem ini, kita tidak mahir. Sebab itu pada mula kita tiada peraturan atau undang-undang.
“Mungkin ada terdapat majikan yang aniaya mereka. Waktu ini belum ada peraturan dan undang-undang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ekonomi gig adalah satu kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu tanpa ada majikan dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain, dan dijalankan sama ada untuk sepenuh masa atau separuh masa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) yang ingin tahu adakah kerajaan akan mengadakan suatu garis panduan kepada mereka yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini selain mewajibkan golongan itu memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang sah.
Mengulas lanjut, kerajaan katanya turut menubuhkan satu jawatankuasa khas disertai tiga kementerian yang berfungsi merangka penyelesaian jangka panjang terhadap pelbagai isu berkaitan ekonomi gig di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, kementerian yang terlibat adalah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Kementerian Sumber Manusia akan menjalankan kajian terperinci dari segi takrifan perundangan berhubung terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan dalam industri kategori ‘gig economy’ selaras dengan perubahan trend ekonomi di bawah perkembangan Industri 4.0,” katanya.
Jelas Dr Mahathir, jawatankuasa itu turut berperanan memberi tumpuan kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, mampan dan inklusif dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).
Beliau menjawab soalan asal Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada kerajaan berhasrat untuk mengawal selia sektor ekonomi gig, khususnya skim pembayaran syarikat Foodpanda, demi membela nasib serta kebajikan pekerja ekonomi gig.
Katanya lagi, ekonomi gig mampu menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu serta memberi peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.
Kepada soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin tahu pandangan kerajaan terhadap pekerja sektor ekonomi gig, Dr Mahathir berkata ekonomi gig memberi peluang kepada rakyat negara ini terutama mereka yang mengganggur untuk bekerja mencari pendapatan yang halal.
“Mereka bekerja sendiri namun tidak seperti pekerja lain yang menikmati beberapa perlindungan. Kita tidak boleh hentikan sistem ini sebab ekonomi gig mampu tambah pendapatan golongan ini,” kata Dr Mahathir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial