AM

Dasar Kebersihan Negara perlu bermula dengan rakyat - Zuraida

06/11/2019 12:17 AM

MELAKA, 3 Nov -- Dasar Kebersihan Negara perlu bermula dengan rakyat yang bertanggungjawab memastikan kebersihan kawasan sekitar dijaga dengan baik, Kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, dasar itu dilancar bagi memastikan semua jenis sampah dan pengurusan pelupusan di negara ini diurus dengan cara yang baik agar negara ini lebih sejahtera, bersih dan nyaman.

“Dasar Kebersihan Negara ini juga memberi tumpuan kepada program kitar semula yang mana kita hendak penduduk di PPR Tehel ini menjadikan sampah sebagai sumber pendapatan tambahan iaitu ‘Trash to cash’.

“Ketika ini KPKT mengadakan program ‘Trash To Cash’ di seluruh negara yang akan dilancarkan di enam tempat termasuk di Melaka bagi membimbing penduduk agar menjadikan sampah kepada duit dan sumber pendapatan,“ katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Kebersihan Negara sempena Hari Habitat Sedunia 2019 peringkat Malaysia dan Hari Kitar Semula Kebangsaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel Melaka hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Zuraida memberitahu sidang media, pihaknya tidak mampu menjalankan Dasar Kebersihan Negara secara bersendirian dan ia memerlukan sokongan dan kerjasama daripada rakyat.

“Saya rasa tidak mungkin kita sendiri boleh buat tanpa sokongan daripada rakyat, sebab itu tadi kita baharu lancarkan ‘bumbung komuniti’ dan persatuan penduduk kawasan ini agar mereka dapat menjadi ejen yang memastikan bahawa kawasan ini dapat dijaga dengan baik.

“Mereka akan diberikan taklimat dan sebagainya untuk memastikan kitaran semula di kawasan ini berjalan dengan lancar dan menjadi pemantau bagi memastikan penduduk di kawasan ini tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

Manakala di peringkat kebangsaan pula, pihaknya akan mengadakan kempen-kempen untuk memperingatkan rakyat agar mereka tidak membuang sampah merata-rata seperti kempen ‘Berani Tegur’ dengan memberi galakan kepada rakyat Malaysia berani menegur kepada sesiapa sahaja yang tidak pandai membuang sampah di dalam tong sampah.

Ramai penduduk di Melaka yang ditemui Bernama menyokong dasar baharu kerajaan ini dan berpendapat ianya perlu bermula dari peringkat paling asas iaitu dalam setiap keluarga sebelum ianya menjadi satu budaya dalam masyarakat.

 Pesara kerajaan, Jamali Basirin, 59, berkata usaha menyemai kesedaran menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat perlu bermula dari bawah iaitu di peringkat keluarga terlebih dahulu.

“Jika semua ketua keluarga dari awal telah mula menyemai kesedaran menjaga kebersihan bukan hanya pada diri sendiri dan dalam rumah malah mengambil tahu atau ambil peduli kawasan sekitaranya… saya yakin bahawa lama-lama ianya akan menjadi satu budaya atau nilai murni dalam masyarakat,” katanya dari Benbam, Jasin.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata beliau mula mendidik kesedaran menjaga kebersihan kepada anaknya sejak dari kecil dengan meminta anaknya membuang sampah ke dalam tong sampah agar mereka  tidak memandang remeh akan perkara ini atau meletakkan tanggungjawab itu kepada orang lain seperti kepada pemungut sampah.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Norfitriha Mohd Said, 34, dari Bukit Katil berkata, beliau seorang yang teliti dalam soal kebersihan sejak kecil hasil didikan kedua-dua ibu bapanya.

“Apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak… saya terapkan nilai peka menjaga kebersihan kepada keluarga dan tidak ‘berat mulut’ menegur mereka yang membuang sampah merata-rata kerana bagi saya ia satu nilai yang perlu dijaga yang melambangkan peribadi seseorang,” kata ibu kepada tiga anak yang bekerja sebagai peniaga.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan