BANGKOK, 8 Nov -- Thailand tidak merancang untuk mengenakan perintah berkurung di wilayah selatan negara ini selepas kejadian serangan sekumpulan bersenjata pada Selasa yang menyebabkan 15 orang mati.
Lt. Col. Pramote Prom-in dari Arahan Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) Wilayah 4 berkata, penguatkuasaan keselamatan dan undang-undang di Yala masih mencukupi.
Yala adalah satu daripada tiga bahagian di wilayah ini yang sering mengalami serangan keganasan.
“Pada masa kini, kami menerima kerjasama yang baik daripada penduduk setempat di peringkat bawah… saya ingin mengesahkan bahawa ISOC Wilayah 4 tidak mempunyai alasan untuk mengenakan perintah berkurung di kawasan berkenaan bagi mengehadkan hak dan kebebasan orang ramai,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.
Pada malam Selasa, sekumpulan bersenjata merempuh satu tempat pemeriksaan keselamatan di wilayah Yala, membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung dan anggota polis dan mencederakan empat yang lain. Sesetengah mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Sukarelawan ini kebiasaannya terdiri daripada orang biasa yang dilatih mengguna senjata dan ditugaskan untuk melindungi kampung.
Para penyerang berkenaan menggunakan bahan letupan dan mereka menaburkan paku di atas jalan dalam usaha memperlahankan pergerakan orang ramai ketika mengejar mereka.
Ia serangan tunggal paling buruk di selatan Thailand dalam beberapa tahun lepas.
Pramote berkata, polis telah memberkas seorang yang disyaki tetapi dia menafikan penglibatannya dalam serangan itu.
“Sekurang-kurangnya 12 individu terlibat dalam serangan itu. Bagaimanapun, kami percaya 30 hingga 40 orang yang terlibat termasuk mereka yang menyalurkan bantuan untuk melakukan serangan itu.
“Kami percaya kumpulan itu aktif di Daerah Mueng, Yala dan dikaitkan dengan Daerah Khok Pho di Pattani dan empat lagi daerah di Songkhla,” katanya.
Pramote memberi amaran kepada penduduk tempatan dan kampung agar tidak sekali-kali menyalurkan bantuan kepada pemberontak.
“Berdasarkan kepada bukti di tempat kejadian, polis percaya sesetengah suspek cedera ketika berbalas tembakan pada malam Selasa. Mereka mungkin berlindung di tempat yang berdekatan.
“Jadi, sampaikanlah maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya anda mengesyaki mana-mana individu di rumah atau di unit rawatan perubatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Bahagian Wilayah 9, Pol Lt Gen Ronnasil Phusara, berkata, sekurang-kurangnya 40 senjata api digunakan dalam serangan Selasa itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial