AM

Perak guna aplikasi 'tiktok' promosi sektor pelancongan

20/11/2019 10:08 PM

IPOH, 20 Nov  -- Kerajaan negeri melalui Tourism Perak akan mempromosikan sektor pelancongan Perak melalui platform 'TikTok' iaitu aplikasi video singkat sebagai satu usaha untuk menarik kehadiran pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata aplikasi terbaharu itu mendapat sambutan hangat daripada kalangan remaja generasi ‘millenial’ di Asia Tenggara dan Barat.

“Kerjasama bersama TikTok dengan melancarkan kempen dari semasa ke semasa akan menaikkan nama Perak di persada dunia,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan negeri Perak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. 

Selain itu, Tan berkata Tourism Perak juga akan menghasilkan lebih banyak isi kandungan berbentuk digital untuk dipromosikan dalam pelbagai aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter berikutan ramai pelancong kini mencari maklumat melalui laman web dan media sosial.

Katanya aplikasi media sosial Weibo dan Wechat juga akan diguna pakai untuk promosi pasaran di China bagi membantu usaha pihak swasta yang mewujudkan penerbangan terus dari Guangzhou, China ke Ipoh. 

Sementara itu, persidangan DUN hari ini turut dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mewujudkan dasar sukan Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia bermula pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata ia merupakan satu inisiatif khas kerajaan negeri untuk memastikan wujudnya kesinambungan antara Para Sukma dan Sukan Olimpik Khas. 

“Untuk mewujudkan dasar ini, Kursus Pembangunan Sukan OKU, Kursus Klasifikasi OKU di samping Talent Identification (TID) atlet-atlet OKU dalam acara ‘scouting’ akan dijalankan,” kata Lee. 

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim pula memaklumkan Sidang DUN bahawa kadar penembusan jalur lebar di Perak tahun ini meningkat kepada 120.8 peratus berbanding 114.1 peratus pada tahun lepas. 

Hasnul Zulkarnain berkata internet yang pantas dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi pembangunan infrastruktur digital yang mampan dan berkualiti. 

"Ini seterusnya dapat meningkatkan kesalinghubungan sosio ekonomi penduduk dan dalam masa sama menarik minat pelabur untuk datang melabur," katanya.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan