AM

Keputusan pasukan petugas untuk Airbnb diputuskan tahun depan 

21/11/2019 08:51 PM

GEORGE TOWN, 21 Nov -- Pasukan petugas bagi penginapan kediaman jangka pendek perkhidmatan penyewaan rumah percutian dalam talian, Airbnb akan membuat keputusan awal tahun depan bagi mengatasi penyusutan kadar penginapan di hotel di negara ini.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata pasukan itu akan mengawal selia Airbnb di seluruh negara dengan mengambil contoh pasukan di beberapa negara lain seperti Perancis, Singapura dan Jepun.

“Perkara ini telah dibincangkan. Apa yang dilakukan di peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memberikan lesen-lesen kepada hotel ini, telah diadakan satu pasukan petugas untuk melihat bagaimana penyewaan penginapan cara Airbnb ini dilaksanakan di negara-negara lain. 

"Kita menjangkakan awal tahun depan kita akan umumkan dan ia perlu dikawal selia (pasukan petugas). Contohnya di sesetengah tempat, Airbnb dibenarkan tetapi bukan di bandar besar yang ada hotel, ia dibuat di tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Permulaan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020) (Pulau Pinang dan Perak) di sini hari ini.

Musa mengulas mengenai rungutan pengusaha hotel yang mendakwa berlaku penurunan jumlah pelancong yang menginap di hotel meskipun kedatangan pelancong ke negara ini tinggi kerana mereka lebih gemar memilih penginapan menggunakan aplikasi Airbnb.

Mengulas lanjut, beliau berkata konsep Airbnb di negara ini berbeza daripada yang diamalkan di Eropah dan Amerika, di mana tetamu akan tinggal bersama tuan rumah, namun di negara ini, tetamu tinggal sendirian tanpa tuan rumah.

“Kita sudah mula lama konsep ini, iaitu 30 tahun dahulu, tapi tak panggil Airbnb, kita panggil ‘Homestay’, iaitu pengalaman tinggal bersama tuan rumah, tapi Airbnb di negara berkenaan lebih kepada penginapan (semata-mata). Apa-apa pun perkara ini (Airbnb) akan dikawal selia,” katanya.

Langkah itu penting kerana ketika ini banyak badan pengurusan bersama juga tidak membenarkan Airbnb beroperasi di kondominium kerana dianggap menganggu penghuni sedia ada.

Mengenai persidangan itu, Musa berkata pelancaran itu bagi menggiatkan lagi promosi sempena kempen VM 2020 wilayah Utara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan