AM

Revolusi Industri 4.0: Terengganu peruntuk RM4 juta

24/11/2019 06:11 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Nov  -- Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan hampir RM4 juta bagi membangunkan negeri itu sejajar dengan Revolusi Industri 4.0, dalam Belanjawan 2020.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata antara yang akan dilakukan adalah menjayakan satu Pelan Pembangunan Industri Digital dengan peruntukan awal sebanyak RM500,000.

“Selain itu, dalam mentransformasikan Terengganu berkonsepkan Smart City, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif secara berperingkat seperti smart traffic lights, automatic boom gate, face recognition, Artificial Intelligence Park dan AI-CCTV dengan peruntukan RM3 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 bagi negeri Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, bagi mewujudkan ‘masyarakat tanpa tunai’ di Negeri Terengganu, gerbang pembayaran Terengganu Pay akan diperkenalkan pada tahun 2020 dengan anggaran kos pembangunan sistem aplikasi RM390,000.

Kerajaan negeri juga katanya berhasrat untuk mewujudkan banyak lagi ‘zon tanpa tunai’ seperti di pulau-pulau peranginan, Pasar Payang, premis perniagaan, restoran dan sebagainya selain turut ingin memperkenalkan inisiatif Terengganu Digital eWallet (KOCEK).

Sebanyak RM3.85 juta juga diperuntukkan bagi menaik taraf Projek Terengganu Wi-Fi dan meluaskan lagi lokasi jalur lebar percuma, serta peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk menaik taraf 15 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR), katanya.

Sementara itu hampir RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan bidang sukan, belia dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam belanjawan itu.

Ahmad Samsuri berkata ia termasuk dalam perbelanjaan kerajaan untuk pembangunan sosial merangkumi sektor pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan luar bandar dan bandar serta sektor perumahan.

Beliau berkata bagi bidang utama sukan antara agihan yang ditetapkan termasuk memperuntukkan RM13.2 juta bagi projek pembinaan sebuah bangunan skuasy tertutup, pembangunan kompleks sukan menembak dan membaik pulih serta menaik taraf gelanggang futsal.

"Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta bagi mengadakan semula pertandingan liga sukan utama dan akar umbi seperti  bola sepak, sepak takraw dan badminton di antara daerah.

"Bagi melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, kita juga menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi menguruskan keperluan serta kemudahan sukan berkaitan.

"Selain itu peruntukan sebanyak RM4.2 juta akan disalurkan kepada Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) bagi menguruskan program sukan seperti Fit Is Sunnah (FITS), Bengkel Garis Panduan Sukan dan Kejohanan Bandminton Belia ," katanya 

Bagi merangka pembangunan belia yang mampan dan bersaing di peringkat negara dan antarabangsa pula, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk aktiviti persatuan belia di Terengganu.

Selain itu kerajaan negeri juga akan merintis sebuah platform baharu iaitu 'Protege' dengan peruntukan sebanyak RM500,000 yang melibatkan pelbagai institusi pendidikan khususnya di sekolah menengah.

"Pelajar sekolah akan menjadi golongan pelapis yang akan diberikan latihan secukupnya bagi meningkatkan kualiti kepimpinan setiap peserta.

"Program Sahabat Remaja Rabbani (Sahabat) juga akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM290,000 bagi mengatasi masalah akhlak pelajar dan mengikat hati remaja kepada institusi masjid," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan