KUALA LUMPUR, 11 Dis -- Sebanyak 246 kes kemalangan maut dengan 275 kematian dicatatkan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bagi tempoh Januari 2016 hingga Oktober tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata 15 keadaan dikesan menjadi punca kepada kemalangan maut di jalan raya di Malaysia termasuk mengekori rapat kenderaan di hadapan.
Punca lain adalah cuai ketika melintas jalan, terbabas sendiri, sedang memotong atau menukar lorong dan cuai ketika keluar atau masuk simpang jalan susur, katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu jumlah kecelakaan jalan raya yang membawa maut di LPT 2 sejak ia dibuka sehingga sekarang.
LPT2 merupakan jajaran sepanjang 183.4 kilometer (km) meliputi empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu dibuka sepenuhnya pada 31 Jan 2015.
Mohd Azis berkata sebanyak 12,167 kes kemalangan biasa yang tidak melibatkan kematian di LPT2 dicatatkan bagi tempoh yang sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial