AM

Farid Kamil dibenar tangguh hukuman penjara

13/12/2019 01:54 PM

PUTRAJAYA, 13 Dis -- Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari dibenar menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana menggunakan dadah, sehingga rayuannya selesai.

Pada pertengahan November lepas, Farid Kamil diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei lepas dan dia menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu selesai didengar.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Farid Kamil dengan syarat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, pemohon (Farid Kamil) boleh memohon pasport diserahkan sementara kepadanya jika ada keperluan,” kata Hakim Yaacob yang bersidang bersama-sama Hakim P. Ravinthran dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, peguam Kee Wei Lon memohon penangguhan itu sementara kebenaran untuk merayu didengar pada 7 Jan 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail tidak membantah terhadap permohonan peguam itu.

Sebelum ini, Farid Kamil telah pun menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Majistret tidak membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, pada 19 Jun lepas Mahkamah Tinggi sama membenarkan permohonan pelakon itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang sedang dijalaninya sehingga rayuannya selesai dan dia dibebaskan dari penjara.

Sepanjang perbicaraan bermula 18 Dis 2018, di Mahkamah Majistret seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pelakon itu memilih untuk berdiam diri.

Mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan lain selain menyabitkan tertuduh atas pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Farid Kamil didakwa menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Turut hadir di mahkamah isterinya, pelakon Datin Diana Danielle.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan