BALIK PULAU, 21 Jan -- Pulau Pinang sekali lagi mencipta sejarah apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena (PICAF) 2020 yang julung kali diadakan di rantau Asia.
Festival yang berlangsung sehingga Mei ini diadakan di lima lokasi iaitu Balik Pulau; Prangin Mall, George Town; Aspen Vision City, Batu Kawan; Persiaran Karpal Singh, Bandar Sungai Pinang dan Dataran Pemuda Merdeka, Butterworth.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia sekali gus meletakkan Pulau Pinang sebagai hab utama kebudayaan dan kesenian di wilayah utara tanah air.
“Bertemakan Penang’s Local Identities, penganjuran ini mempamerkan lima buah kontena seni lukis yang ditempatkan di lima lokasi meliputi bahagian pulau dan Seberang Perai.
“Sebanyak 10 mural hasil lukisan 12 pelukis tempatan dan antarabangsa adalah penceritaan visual identiti tempatan bertujuan mewujudkan perasaan cintakan Pulau Pinang dengan lebih mendalam,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PICAF 2020 di Kampung Terang di sini, malam tadi.
Chow berkata buat masa ini, mural di Balik Pulau, yang memaparkan lukisan pada kontena setinggi 40 kaki terletak di tengah sawah padi, telah siap dan sedia menerima kunjungan pelancong.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang turut hadir berkata tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung dan lampu turut dipasang untuk menerangi kawasan sekitar bermula pukul 7.45 malam hingga 11 malam bagi memudahkan pengunjung mengambil gambar.
"Kita tidak mengenakan bayaran kerana kita membangunkan kontena ini di kawasan awam. Kita mentransformasikan kawasan awam untuk orang ramai datang beriadah," katanya.
Sepanjang festival itu berlangsung, pengunjung berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan acara berkaitan seni yang melibatkan komuniti setempat termasuk persembahan muzikal, hiburan jalanan, bengkel kebudayaan dan seni, 'fun walk', lawatan berpandu tempatan, tarian zumba, program keraian tempatan dan aktiviti pelakaran urban.
PICAF 2020 dianjurkan oleh Can Can Public Art PLT bersama TLM Event dan disokong oleh Penang Global Tourism.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial