KLANG, 16 Sept -- Pusat Pemborong GM Klang hari ini melancarkan kempen #KasiSupportBaranganTempatanLah sebagai inisiatif dalam membantu usaha meningkatkan ekonomi negara yang sedang berdepan dengan ancaman penularan COVID-19.
Pengurus Pengiklanan & Promosi GM Klang Norsuhaida Othman berkata kempen itu merupakan antara usaha pusat berkenaan untuk memupuk usaha membeli barangan dan jenama tempatan di samping menyemai semangat cinta akan negara dalam kalangan pembeli secara tidak langsung.
Katanya ia juga sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia yang disarankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
"Seiring dengan kempen ini, ia adalah usaha kami untuk mempromosikan peniaga-peniaga tempatan di sini khususnya, kerana kami turut wujudkan slot peniaga tempatan di sini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan di sini, hari ini.
Norsuhaida berkata kempen yang telah bermula 31 Ogos sehingga 30 Sept depan itu turut menawarkan peluang memenangi insentif membeli belah RM300 tiap seorang, di mana pengunjung hanya perlu berswafoto di lokasi menarik sekitar GM Klang bersama topi eksklusif berharga RM5 yang boleh dibeli di pusat khidmat kompleks itu, dan memuat naik gambar di laman sosial mereka, dengan 'tag' GM Klang beserta #supportbarangantempatan.
"Sepuluh pemenang bertuah akan diumumkan pihak kami pada bulan Oktober nanti," katanya.
Sementara itu, Norshuhaida turut menyampai hadiah cabutan bertuah kepada lima orang pengunjung GM Klang bulan Ogos lepas yang menyaksikan setiap pemenang membawa pulang baucar membeli-belah di kompleks itu bernilai RM1,000.
Katanya program cabutan bertuah akan diteruskan sehingga Disember ini dan pengunjung yang ingin menyertai cabutan itu hanya perlu berbelanja RM100 di mana-mana kedai di kompleks berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial