KLANG, 14 Dis -- Kempen Support Local, Shop Local yang dilancarkan Pusat Borong GM Klang (GM Klang) pada 23 Nov lepas disifatkan antara inisiatif terbaik dilakukan pusat borong itu dalam membantu peniaga tempatan memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.
Seorang pemborong kerepek serta barangan industri kecil dan sederhana (IKS) Nur Azni Asyrina Abdul Rahman, 29, berkata melalui inisiatif tersebut, ia secara langsung dapat membantu peniaga tempatan di pusat borong terbesar Malaysia itu memasarkan produk keluaran mereka kepada masyarakat khususnya ketika negara sedang berdepan dengan impak penularan COVID-19.
"Kini GM Klang giat menjalankan promosi serta kempen beli produk tempatan menerusi media sosial rasminya sambil mengetengahkan barangan tempatan yang ada di pusat borong ini.
"GM Klang adalah satu jenama yang besar dan dikenali ramai. Bila mereka mempromosikan kedai menerusi laman sosial Instagram atau Facebook mereka, orang akan mudah tahu daripada kita buat promosi sendiri," katanya pada Bernama ketika ditemui di GM Klang, di sini hari ini.
Bagi seorang peniaga pakaian dan tudung Latifah Jalil, 59, pula berkata inisiatif kempen beli barangan buatan Malaysia oleh kerajaan dan GM Klang sendiri secara tidak langsung mampu merancakkan kembali perniagaan warga tempatan setelah ia lama 'suram' khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lepas.
"Bila ada kempen secara besar-besaran dan semua pihak turut serta, ia mendorong untuk beli barangan buatan Malaysia. Bila orang beli barang kita, kita pun mampu sediakan peluang pekerjaan secara tidak langsung sebab ada permintaan daripada masyarakat," katanya.
Seorang pembeli di GM Klang, Aminudin Ibrahim, 48, berkata kempen seumpama itu secara tidak langsung boleh mewujudkan persaingan sihat di antara penjual kerana sudah semestinya pembeli menginginkan barang yang berkualiti pada harga berpatutan.
"Di GM Klang, semua barangan ada dan ditawarkan pada harga berpatutan. Pengunjung boleh pilih mana kedai yang menawarkan barangan berkualiti seiring dengan harga," katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Komunikasi Korporat dan Hubungan Awam GM Klang, Nur Faezah Mohd Arsad berkata kempen Support Local, Shop Local GM Klang adalah antara inisiatif pihaknya menggalakkan rakyat berbelanja di pusat borong itu.
Katanya, kempen yang bermula pada 23 Nov lepas hingga 23 Dis ini adalah seiring dengan Kempen Beli Barangan Malaysia dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Julai lalu, bagi menggalakkan orang ramai membeli barangan tempatan.
"Ia adalah matlamat kami untuk menekankan kepentingan membeli barangan tempatan dan kesan positif ke atas sosioekonomi, selain menjadikan GM Klang pilihan tunggal yang muncul di minda pengguna apabila memikirkan untuk membeli barangan tempatan," katanya.
Selain itu, Faezah berkata orang ramai boleh memberikan sokongan mereka terhadap kempen tersebut dengan menyertai peraduan di laman Facebook dan Instagram GM Klang.
"Orang ramai perlu memuat naik foto membeli produk tempatan di GM Klang, lengkapkan kapsyen mengapa kempen ‘Beli Barangan Tempatan’ adalah terbaik, diikuti dengan ‘hashtag’ #SupportLocalShopLocal dan tag akaun media sosial GM Klang.
"Sepuluh pemenang terpilih akan memenangi baucar tunai berjumlah RM7,000 secara keseluruhan untuk membeli pelbagai barangan berjenama dan buatan tempatan di GM Klang," katanya.
Di samping itu kata Faezah, seiring dengan pengumuman kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri, GM Klang akan meneruskan usaha memastikan pelanggan sentiasa berada dalam keadaan selamat ketika membeli-belah di pusat borong itu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Penggunaan e-wallet atau menggunakan khidmat penghantaran yang disediakan oleh pemborong dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara usaha GM Klang meneruskan kempen ini di samping terus menjaga SOP yang telah ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial