AM

Ibu bapa jangan risau, kerajaan ada cara tangani kluster pendidikan - Rina

25/04/2021 02:17 PM

BATU GAJAH, 25 April -- Kerajaan mempunyai cara tersendiri dalam menangani kluster pendidikan di beberapa negeri yang semakin membimbangkan ibu bapa ketika ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata pihak terbabit seperti Kementerian Pendidikan pastinya akan mengambil prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi memastikan penularan pandemik COVID-19 tidak merebak sepenuhnya secara meluas di sekolah.

"Saya amat memahami perasaan ibu bapa yang pastinya bimbang akan keselamatan anak-anak yang terdedah dengan risiko jangkitan. 

"Kita lihat ada penularan COVID-19 di beberapa sekolah dan saya yakin kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan akan mengambil SOP lebih ketat untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa. 

"Kita memandang serius hal ini kerana kanak-kanak adalah golongan berisiko untuk terdedah dengan jangkitan," kata Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) itu selepas menyampaikan bakul makanan dalam program 'Dapur Kita' di sini kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Ipoh.

Dilapor, Sarawak, Kelantan, Johor dan Selangor telah menutup sekolah di beberapa daerah ekoran penularan kluster pendidikan di sekolah khasnya di kawasan zon merah.

Mengulas lanjut, Rina sekali lagi menggesa agar vaksin untuk kanak-kanak dipercepatkan selain kepada ibu bapa dan guru dalam memastikan penularan tidak merebak serta terus membimbangkan pihak berkenaan. 

"Umum mengetahui vaksin ketika ini untuk mereka berumur 18 tahun ke atas. Jadi saya menggesa dan berharap vaksin untuk kanak-kanak juga dipercepatkan (selepas kajian). Saya akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan supaya memberi perhatian khusus kepada kluster pendidikan," tegasnya.

Sebelum ini, Rina membuat gesaan yang sama pada 6 April agar pemberian vaksin kepada kanak-kanak dapat dipercepatkan ekoran peningkatan kluster pendidikan di seluruh negara.

Terdahulu, Rina menyampaikan sumbangan barang dapur dan bakul makanan kepada 200 penerima dalam meringankan beban dihadapi mereka khasnya suri rumah sewaktu negara berdepan pandemik COVID-19.

Sehingga kini, sebanyak 1.1 juta bakul makanan telah diedarkan untuk dimanfaatkan empat juta penduduk di seluruh negara, jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan