AM

Hentikan perang politik , fokus kepada jayakan PPN - Wan Ahmad Fayhsal

05/08/2021 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos  -- ‘Perang politik’ yang berlaku ketika ini perlu dihentikan bagi membolehkan isu kesihatan negara diselesaikan sekali gus membuka laluan kepada perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lebih lancar. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata langkah itu juga perlu untuk memberi peluang kepada kerajaan Perikatan Nasional lebih fokus kepada usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan sokongan semua pihak.

"Kalau kita berjaya hentikan dulu perang poltik ini, banyak perkara kita boleh selesaikan dan boleh pergi ke pilihan raya yang agak tenang dan baik untuk semua orang. 

"Cuma kita lihat di pihak pembangkang, bukan semua, tapi ramai yang mendesak (kerajaan) atas sebab kepentingan peribadi mereka khususnya yang berdepan dengan kes (mahkamah) tertentu," katanya malam ini dalam program Facebook Gerakan Talk Show bertajuk ‘Politik Malaysia: Ke Mana Arah Tujunya?’

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional itu menyifatkan tidak ada satu parti politik pun yang bersedia untuk mendepani PRU15 ketika ini berikutan situasi COVID-19 dalam negara masih tidak stabil.

Oleh itu, beliau berpandangan kerajaan kini perlu dikekalkan sehingga tamat penggal bagi memberi ruang kepada semua parti untuk mempersiap jentera masing-masing bagi menghadapi PRU15. 

Menyentuh isu sokongan dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin, beliau berkata semua pihak perlu menunggu keputusannya ketika persidangan Dewan Rakyat diadakan September ini. 

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban, Negeri Sembilan Mujibu Abd Muis berkata semua pihak harus sabar menunggu persidangan Dewan Rakyat untuk menentukan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Semua pihak harus menunggu untuk gelanggang dibuka pada bulan September depan namun mungkin ada keraguan dalam kalangan pembangkang bahawa macam-macam boleh berlaku dalam tempoh sebulan itu yang barangkali boleh mengubah kedudukan daripada tidak menyokong kepada sokong, dan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Politik: Game Over atau Game On? terbitan BernamaTV hari ini.

-- BERNAMA  
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan