SUKAN

'Tibo' kapten skuad PUFC

31/01/2022 11:54 AM

KANGAR, 31 Jan -- Teka-teki siapakah yang akan mengepalai Perlis United Football Club (PUFC) terjawab apabila Azmizi Azmi atau dikenali sebagai ‘Tibo’ diberi kepercayaan untuk membimbing rakan pasukan beraksi di Liga Malaysia Divisyen 3 (M3) yang akan membuka tirai 12 Feb ini.

Jurulatih PUFC Azizul Abidin berkata beliau memilih Azmizi, 35, kerana yakin dengan kemampuan anak jati Kuala Perlis itu untuk membimbing rakan pasukan di padang.

“Daripada penilaian saya, Azmizi mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dan ia terbukti ketika  aksi persahabatan bersama Bukit Tambun FC (BTFC) pada 22 Jan lepas apabila Perlis United seri 2-2 pada perlawanan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Pemain pertahanan itu pernah menyarung jersi pasukan Kedah, Felda United, Perak dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC).

Azizul yang mesra dengan panggilan Cikgu Jon berkata beliau telah memilih barisan pemain utama yang akan beraksi di Liga M3 musim ini dan pertukaran pemain akan dibuat mengikut keperluan perlawanan.

Beliau berkata pemain PUFC telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi pada perlawanan sulung bertemu pasukan daripada Terengganu iaitu Real Chukai FC di Stadium Mak Chili di Kemaman pada 12 Feb.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan