DUNIA

Majlis Perbandaran Yala seru semua pihak kembalikan keamanan

31/01/2022 08:45 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 31 Jan -- Pihak Majlis Perbandaran Yala menyeru semua yang terlibat dalam beberapa serangan bom di bandar itu pada Jumaat dan Sabtu lalu tampil untuk mencari penyelesaian dan memulihkan keamanan di wilayah itu.

Datuk Bandar Yala Pongsak Yingchoncharoen dalam satu kenyataan berkata pihak majlis sangat kesal dengan kejadian bom dipasang di lebih 20 lokasi perbandaran itu oleh kumpulan yang tidak dikenali.

Meskipun tidak melibatkan kehilangan nyawa atau harta benda yang ketara, beliau berkata kejadian itu menyebabkan kerugian ekonomi yang teruk dan menjejaskan keyakinan orang ramai.

"...dan akibatnya, usaha untuk membangun dan memulihkan kualiti hidup masyarakat di situ menjadi sia-sia.

“Oleh itu, pihak Perbandaran Yala, menyeru agar tindakan sebegitu dihentikan dan mengajak mana-mana pihak yang terlibat untuk berbincang bagi mencari penyelesaian secara aman, dan bukannya menggunakan keganasan kerana tindakan itu tidak lagi diterima oleh masyarakat dunia dan tidak boleh memulihkan keamanan di tanah air.

Pada Jumaat malam, seorang  cedera apabila sekurang-kurangnya 15 letupan kecil menggegar bandar Yala, kebanyakannya berlaku di tepi jalan, kedai serbaneka, kedai dan pasar.

Dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand, kerajaan Thai memulakan kembali dialog damai dengan kumpulan bersenjata berpengaruh Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai oleh Anas Abdulrahman di Kuala Lumpur pada pertengahan Januari.

Delegasi kerajaan Thailand ke rundingan itu diketuai oleh Jeneral Wanlop Rugsanaoh, manakala bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai pemudah cara yang mewakili kerajaan Malaysia.

Rundingan itu memberikan sinar harapan untuk menamatkan pertumpahan darah di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, kawasan majoriti umat Islam. Lebih 7,000 orang terbunuh dalam konflik bersenjata di selatan Thailand yang bermula pada 2004.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan