SUKAN

Sukan SEA: Jackie Wong enggan kecewa lagi

01/02/2022 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb  -- Kegagalan mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina masih menghantui jaguh lontar tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer.

Walaupun sudah lebih dua tahun berlalu, Jackie yang kecewa dengan keputusan ketika itu, kini tekad untuk melakukan yang terbaik bagi merampas kembali emas di Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

"Semestinya saya memang kecewa namun, saya harap dapat ambil balik emas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jackie, 29, yang merangkul emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Filipina sekali gus menyaksikan atlet Thailand, Kittipong Boonmawan muncul juara acara itu.

Selain Sukan SEA, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 67.01 meter (m) yang dilakukan semasa Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Qatar juga berharap dapat melayakkan diri ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 Sept depan.

Atlet dari Sarawak itu membuat penampilan sulung di Sukan Asia pada edisi 2018 di Indonesia yang menyaksikannya menamatkan cabaran di tangga ketujuh kesuluruhan.

Selain itu, Jackie mengakui situasi pandemik COVID-19 yang belum reda sedikit sebanyak menjejaskan prestasinya susulan tiada aksi antarabangsa disertai selepas kali terakhir beraksi di Sukan SEA 2019.

"Namun, saya masih yakin kepada diri saya untuk melakukan yang terbaik di Hanoi nanti," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan