KUALA LUMPUR, 8 Feb -- Yinson Holdings Bhd, menerusi unit milik penuhnya Yinson Production Pte Ltd, Yinson Bergenia Production BV dan Yinson Bergenia Serviços de Operação Ltda, memeterai kontrak dengan Petróleo Brasileiro SA (Petrobras) bagi penyewaan, operasi dan penyenggaraan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO) Maria Quitéria di Brazil.
Maria Quitéria yang sebelum ini dikenali sebagai FPSO Integrado Parque das Baleias (IPB) adalah kapal FPSO di North Campos Basin, luar pantai Brazil.
Kontrak tersebut merupakan pemberian projek kedua Yinson dengan Petrobras dan projek ketiganya di Brazil sejajar dengan rancangan syarikat infrastruktur tenaga dan teknologi global itu untuk berkembang di Brazil.
Yinson dalam satu kenyataan hari ini berkata permeteraian kontrak itu adalah susulan pemberian dua surat hasrat (LOI) bagi projek tersebut pada 12 Nov, 2021, yang mana anggaran nilai agregat kontrak itu adalah bersamaan dengan US$5.2 bilion (US$1=RM4.182) manakala tempoh kontrak adalah bagi 22.5 tahun daripada tarikh penerimaan akhir.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lim Chern Yuan berkata Brazil merupakan pasaran penting bagi Yinson, dan syarikat itu gembira Petrobras, yang merupakan satu daripada peneraju utama dunia dalam sektor tenaga telah memberi kepercayaan sekali lagi kepada syarikat tersebut dengan kontrak FPSO Maria Quitéria.
Ketua Pegawai Eksekutif pengeluaran luar pantai syarikat itu Flemming Grønnegaard berkata pengalaman yang diperoleh Yinson setakat ini menerusi projek FPSO Anna Nery, yang diterima daripada Petrobras pada 2019, telah terbukti sangat berharga dan syarikat itu yakin ia akan menjadi tunjang kepada kejayaan penyediaan FPSO Maria Quitéria.
“Apa yang paling penting dalam projek ini adalah aspirasi bersama Yinson dan Petrobras dalam menangani isu iklim dunia.
"Kami berharap dapat melaksanakan reka bentuk pelepasan karbon rendah yang merupakan pertimbangan utama skop reka bentuk FPSO Maria Quitéria dan mula merealisasikan konsep FPSO pelepasan karbon sifar Yinson, yang merupakan komponen penting dalam pelan hala tuju matlamat iklim Yinson,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial