KUALA LUMPUR, 9 Feb -- Empat lagi pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada 14 hingga 26 Feb ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini menyatakan empat pemain itu adalah penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta tiga pemain pertahanan Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Kesemua pemain pasukan Selangor FC itu yang telah melapor diri malam tadi merupakan tonggak yang membantu negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia, Oktober lepas.
Pasukan negara yang diundi dalam Kumpulan B pada pertandingan di Kemboja itu akan memulakan kempen menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Feb ini.
Anak buah ketua jurulatih Brad Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 18 Feb di venue sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Feb.
Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Feb.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial