KUCHING, 9 Feb -- Sarawak mengalu-alukan cadangan pembukaan semula sempadan negara yang dilihat mampu memanfaatkan serta merancakkan kembali sektor ekonomi negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Bagaimanapun beliau berkata untuk negeri Sarawak, keputusan pembukaan semula sempadan terletak di bawah kuasa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Katanya pembukaan sempadan pasti akan melegakan banyak pihak, tetapi ia juga harus mengambil kira semua faktor termasuk keselamatan.
“Kita perlu melihat aspek penularan COVID-19, jika diputuskan demikian (sempadan dibuka) prosedur operasi standard (SOP) kena dipatuhi. Kita mengalu-alukan sempadan dibuka tetapi kita juga harus berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Hari Integriti dan Inovasi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) di sini, hari ini.
Semalam, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, tanpa keperluan kuarantin wajib.
Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syor itu penting, bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta sebagai usaha menarik pelabur asing ke negara ini.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Negeri berkata jumlah nilai esport produk perkayuan bagi Sarawak pada tahun lepas adalah RM3.9 billion, iaitu meningkat 4 peratus atau RM0.15 billion berbanding RM3.7 billion pada 2020.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial