KOTA BHARU, 9 Feb -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) memperuntukkan dan membelanjakan RM20 juta daripada terimaan zakat bagi agihan zakat pendidikan kepada lapan kategori asnaf di seluruh Kelantan setiap tahun.
Yang Dipertua MAIK Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata perbelanjaan tersebut melibatkan bantuan kewangan kepada penerima seawal usia tujuh tahun yang dipantau sehingga peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang termasuk pelajar luar negara, bantuan persekolahan di sekolah, pondok, pengajian tahfiz dan pelajar kemahiran.
Beliau berkata pada tahun lepas, jumlah perbelanjaan yang diagihkan MAIK di bawah golongan asnaf fakir, miskin dan fisabilillah melalui program pendidikan, adalah sebanyak lebih RM21 juta atau 13 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan agihan zakat iaitu lebih RM170 juta.
"Perbelanjaan ini melibatkan beberapa bantuan persekolahan, melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT), pondok dan tahfiz, Biasiswa Tengku Anis (BTA) MAIK, sumbangan melanjutkan pelajaran ke IPT - Fisabilillah, aktiviti pendidikan asnaf dan Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP).
“Perbelanjaan turut melibatkan pengajian asnaf lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (PPALS), Biasiswa Zamalah Pendidikan (BZP) MAIK dan Biasiswa Sultan Ismail Petra (BSIP)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIK dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), di sini hari ini.
MoU tersebut ditandatangani Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifli Ab Rahman manakala KIAS diwakili Rektornya Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mengulas lanjut mengenai MoU tersebut, Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK akan menaja para pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian tinggi di KIAS di bawah BZP dan DSIP.
“Penajaan biasiswa di KIAS dipersetujui seramai 80 orang iaitu di peringkat diploma dan ijazah melibatkan 26 bidang.
“Anggaran peruntukan perbelanjaan bagi penajaan biasiswa ini adalah sebanyak RM660,000 untuk tahun pertama dan tambahan sebanyak RM292,500 bagi tahun berikutnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial