BUTTERWORTH, 12 Feb -- Pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah selepas kedua-dua kenderaan bertembung dalam nahas berhampiran sebuah kilang di Jalan Perusahaan Perai di sini malam ini.
Insiden yang dipercayai berlaku pada 7.20 malam itu turut menyebabkan 15 pekerja kilang lelaki warga asing yang dalam perjalanan pulang cedera ringan.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.21 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerah ke lokasi kejadian.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pekerja kilang telah bertembung dengan lori treler dan menyebabkan bas terbalik manakala dua lelaki yang merupakan pemandu kedua-dua kenderaan cedera parah.
"Pemandu bas dan lori treler yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata semua pekerja kilang yang cedera dihantar ke hospital sama untuk pemeriksaan kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial