AM

Berita-berita ringkas Dewan Negara: 24 Mac

24/03/2022 04:33 PM

KDN DAN K-KOMM PANTAU KANDUNGAN DALAM TALIAN PAPAR TEKNIK MEMPROSES DADAH

 

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sentiasa memantau laman web dan applikasi dalam talian yang memaparkan teknik-teknik memproses dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata K-KOMM sentiasa menyalurkan maklumat dan memberi kerjasama kepada pihaknya dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web dan aplikasi dalam talian yang menyumbang kepada kegiatan jenayah di dalam negara.

"KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab untuk memantau apa sahaja kegiatan yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara termasuklah ancaman dadah," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

NACCOL DIJANGKA BERMESYUARAT BULAN DEPAN

 

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dijangka bermesyuarat bulan depan bagi membincangkan strategi untuk mengawal harga barangan dan makanan terutama ayam dan telur selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tamat pada 4 Jun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disertai pelbagai kementerian berkaitan.

"Dalam mesyuarat ini, rentas kementerian di mana semua pihak akan bersama untuk membincangkan apa sepatutnya langkah kita (kerajaan) akan ambil untuk memastikan tiada kenaikan harga apabila SHMKM tamat Jun nanti," katanya semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

PELAN PEMBANGUNAN KL 2040 DIMUKTAMADKAN, JANGKA WARTA APRIL INI

 

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pelan Pembangunan Kuala Lumpur (PPKL) 2040 yang melibatkan pelan struktur, kini dalam proses dimuktamadkan untuk diwartakan dijangka pada bulan depan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Jalaluddin Alias berkata draf pelan tempatan pula dalam proses dimuktamadkan untuk dipamerkan kepada pihak awam yang dijangka mulai Julai depan katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai status PPKL 2040.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hisamuddin mengenai aduan dan bantahan projek pembangunan dengan nisbah plot yang tinggi, Jalaluddin berkata sehingga kini tiada arahan henti kerja yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju yang telah mendapat kelulusan pembangunan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan