DUNIA

Indonesia gesa dunia bersatu pulihkan rantaian bekalan makanan

27/06/2022 07:30 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 27 Jun (Bernama) -- Indonesia menyeru semua negara bertindak segera dan tidak berputus asa untuk mencari penyelesaian damai di Ukraine agar rantaian bekalan makanan global yang terjejas dapat dipulihkan.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata demikian di Persidangan Menteri-Menteri mengenai keselamatan makanan dunia di Berlin, Jerman secara hybrid minggu lepas yang turut dihadiri menteri luar, menteri pertanian dan menteri pembangunan dari negara-negara Kumpulan Tujuh (G7).

Retno berkata kesan perang yang berlaku sekarang tidak terhad kepada satu kawasan sahaja malah memusnahkan sistem makanan global yang sudah lemah akibat pandemik dan perubahan iklim.

Justeru, penyelesaian yang berkesan adalah dengan mewujudkan ‘koridor bijirin’ untuk mengeksport bijirin dari Ukraine serta membuka eksport makanan dan baja dari Rusia.

“Apabila kita gagal mengatasi krisis baja, maka akan terjadi pula krisis beras yang menjejaskan nasib lebih daripada dua bilion penduduk dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Data Majlis Bijirin Antarabangsa menunjukkan Ukraine adalah pengeksport jagung keempat terbesar di dunia dan pengeksport gandum keenam terbesar pada musim 2020/2021.

Pada Mei lalu Presiden Vladimir Putin dilaporkan berkata Rusia sedia menyumbang untuk mengatasi krisis makanan melalui eksport bijirin dan baja, dengan syarat sekatan bermotifkan politik ditarik balik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan