EKONOMI

Kerajaan belanja RM248 juta bagi projek jalan di Labuan sejak 2018

29/06/2022 06:35 PM

LABUAN, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM248 juta bagi pelbagai projek jalan raya di pulau bebas cukai ini sejak 2018 hingga kini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan Ir Suhaizad Sulaiman berkata projek jalan pesisir pantai Membedai-Kerupang sepanjang 5.1 kilometer merupakan peruntukan tertinggi dengan sebanyak RM155 juta diikuti projek menaik taraf fasa dua Jalan Pohon Batu (Simpang Tamu)-Pancur Hitam bernilai RM36.6 juta.

“Kesemua projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 ini telah siap dan mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlarutan di Jalan Pohon Batu dan Jalan Tun Mustapha.

“Penyiapan projek jalan pesisir pantai berkenaan memberi manfaat sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya seperti pengguna di Kampung Tanjung Aru, Nagalang and Kerupang 1, 2 dan 3,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain projek pembinaan jalan baharu, Suhaizad berkata JKR Labuan turut menyelenggara jalan Persekutuan sepanjang 142.068 kilometer di pulau itu dengan peruntukan penyelenggaraan pada 2018 sebanyak RM12 juta dan meningkat kepada RM13 juta pada 2019.

Menurut Suhaizad, peruntukan bagi penyelenggaraan jalan pada 2020 meningkat sekali ganda dengan sebanyak RM21 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan rutin, pembaikan jambatan dan cerun, pemulihan jalan, papan tanda jalan dan saliran serta kesemua projek itu siap mengikut jadual. 

“Kami memantau kerja (penyelenggaraan) berkenaan dengan ketat mengikut spesifikasi dan perlu disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sekali lagi meluluskan peruntukan tambahan kepada Labuan tahun lepas dengan sebanyak RM31 juta bagi penyelenggaraan jalan.

“Setakat Jun tahun ini, sejumlah RM11.2 juta telah diperuntukkan kepada Labuan untuk kerja-kerja seumpama itu,” katanya dengan menambah kerajaan telah membelanjakan lebih RM67 juta untuk pelbagai projek jambatan, cerun dan turapan dari 2018 hingga Jun tahun ini.

Sementara itu, Jurutera Kanan JKR Labuan Ir Sudin Hashim berkata pemantauan terhadap keselamatan jalan raya di pulau itu dilakukan secara berkala.

“Bukan sahaja pemantauan malah kita mengambil perhatian serius dan tindakan segera terhadap aduan orang ramai mengenai keadaan jalan raya yang teruk,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan