KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) yakin ketiga-tiga atlet gimrama ke temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 mempunyai peluang cerah untuk memenuhi sasaran satu emas.
Setiausaha Kehormat MGF Afrita Ariany Nasril berkata Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan mempunyai kelebihan dalam apparatus kegemaran masing-masing dan optimis mereka mampu merealisasikan sasaran ditetapkan.
“Semua gimnas ada kekuatan sendiri dan ia bergantung kepada juri dan atlet pada hari pertandingan. Kami bertuah, sebab untuk Komanwel kali ini, mereka jalani latihan berterusan.
“Ketiga-tiga gimnas menjalani latihan dan persiapan yang sangat mantap, termasuk penyertaan di Sukan SEA Hanoi bulan lepas,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Komanwel Datuk Shahrul Zaman Yahya hari ini.
Afrita Ariany berkata ketiga-tiga atlet berkenaan bakal beraksi dalam acara individu apparatus gelung, bola, belatan dan riben, dengan hanya lapan atlet terbaik akan mara ke final acara all-around individu.
Dalam pada itu, Sie Yan berkata skuad gimrama akan ke Baku, Azerbaijan untuk menjalani latihan pusat terakhir sebelum penyertaan di Sukan Komanwel.
Mengakui bakal berdepan cabaran sukar di Birmingham, pemenang pingat emas Sukan SEA itu menyifatkan latihan di Baku menjadi medan terbaik buatnya untuk meningkatkan prestasi.
“Momentum akan lebih baik kerana suasana dan kemudahan di sana lebih baik, jadi kita boleh melakukan koreografi dan rutin dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Shahrul Zaman berpuas hati dengan perkembangan prestasi ketiga-tiga atlet tersebut di Kejohanan Asia 2022 di Pattaya, Thailand baru-baru ini.
Menyedari gimrama adalah acara sukan yang subjektif, beliau berharap gimnas negara dapat fokus dan memberikan persembahan terbaik sekali gus dapat memikat hati pihak juri dalam pemberian markah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial