KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) akan menggunakan platform padanan pintar, Match Plus China Construction Bank (CCB) untuk mempromosikan urus niaga rentas sempadan termasuk perkhidmatan kewangan dan meningkatkan integrasi ekonomi antara negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Nik Mohamed Din Nik Musa berkata platform padanan itu memenuhi aspirasi Labuan IBFC untuk meluaskan produk dan perkhidmatannya kepada pelabur, syarikat perniagaan dan individu di rantau ini termasuk pasaran China.
“Setakat ini terdapat 183 syarikat dan institusi berlesen dari China. Kami berharap platform padanan ini akan membuka jalan kepada lebih banyak urus niaga rentas sempadan,” katanya pada Labuan Investment Cooperation Forum 2022 - ‘Into Labuan IBFC’, di sini, hari ini.
Beliau berkata CCB Match Plus akan mewujudkan kedudukan strategik di rantau ini dengan mengoptimumkan peluang perniagaan melalui rangkaian produk dan perkhidmatannya yang pelbagai.
“Platform ini akan menyediakan pelanggan ekosistem rentas sempadan yang pintar dan komprehensif dengan susun atur dalam dan luar negara, integrasi secara dalam talian dan luar talian serta kesalinghubungan kewangan dan bukan kewangan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata ia akan menarik peserta pasaran tambahan dari seluruh dunia untuk menggunakan CCB Match Plus sebagai platform untuk tujuan membuat padanan perniagaan.
“Labuan IBFC akan menjadi bidang kuasa pertama yang akan menggunakan platform ini. Kami akan mempunyai akses kepada kira-kira 200,000 entiti perniagaan dari 48 negara seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Pejabat Ekonomi dan Komersial Kedutaan China di Malaysia, Zhang Peidong berkata persekitaran perdagangan bebas peringkat tinggi yang diwujudkan oleh RCEP akan meningkatkan integrasi rantaian bekalan perdagangan China-Malaysia, merangsang pembangunan perdagangan digital serantau dan menambah baik persekitaran perniagaan secara keseluruhan.
“Kami akan meningkatkan lagi kerjasama dalam elektronik dan peralatan elektrik, pembuatan kereta, peleburan kimia, kereta api dan pelabuhan dan memanfaatkan bidang yang baru muncul dalam ekonomi digital, pembangunan hijau, e-dagang dan keselamatan siber untuk memajukan lagi perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara,” katanya.
CCB Match Plus ialah platform perkhidmatan padanan sehenti yang membolehkan perusahaan mendapatkan sumber kewangan, projek, pembekal dan senarai produk dan perkhidmatan di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial